KUMARIVIJAYA menjaga anaknya, Mayuren yang menghidap Celebral Parsy akibat lemas ketika lahir.
Zuliaty Zulkiffli
am@hmetro.com.my


“SETIAP kali lapar, hendak buang air, kecil atau besar anak saya akan menangis, malah lebih kuat (menangis) jika digigit nyamuk kerana dia tidak dapat capai (bahagian badan digigit) menggunakan tangannya sendiri,” kata S Kumarivijaya, 41.

Kumarivijaya berkata, walaupun anak lelaki, S Mayuren, 14, dilahirkan normal, komplikasi ketika melahirkannya menyebabkan remaja itu kini menghidap Celebral Palsy.

Katanya, masalah berkenaan menyebabkan anak sulung daripada lima beradik itu kini terlantar di rumah, malah tidak mampu makan seperti orang lain melainkan hanya minum susu melalui tiub.

“Dia tidak boleh ditinggalkan bersendirian kerana bimbang diserang sawan dan keadaannya seolah-olah seperti bayi.

“Dulu, saya cuba beri dia makan bijirin atau makanan lembut tetapi dia tidak boleh terima, malah kerap buang air besar,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Sungai Raya, di sini, baru-baru ini.

Kumarivijaya berkata, anaknya menjalani pemeriksaan di Hospital Langkawi setiap tiga bulan sekali.

Wanita itu berkata, keluarganya reda dengan keadaan Mayuren yang mungkin menghidap penyakit itu sepanjang hayatnya.

“Saya dan suami, P Selvem Vadiapan, 43, bergilir-gilir menjaga anak walaupun terpaksa bersabar dengan kerenahnya yang kerap menangis.

“Setiap bulan kami menghabiskan wang membeli lampin pakai buang dan susu untuknya bagi memastikan dia sihat,” katanya.

Sehubungan itu, orang ramai yang ingin menyalurkan sumbangan boleh berbuat demikian melalui akaun Maybank 152077260388 (S Kumarivijaya).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Oktober 2019 @ 6:00 AM