FOTO Hiasan
Zatul Iffah Zolkiply
zatuliffah@hmetro.com.my


TINDAKAN lelaki mengugut mahu menikam abangnya menggunakan pemutar skru membawa padah apabila dihukum penjara enam bulan di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, hari ini.

Keputusan itu dibuat Majistret Abdul Hayyi Salim selepas tertuduh, Zamzuri Mohd Zawawi, 38, mengaku salah terhadap pertuduhan itu.

Tertuduh didakwa melakukan ugutan jenayah dengan mengugut mahu menikam Zamrullah, 46, dengan niat menimbulkan rasa takut di sebuah rumah di Kampung Sekati, Manir, di Kuala Terengganu, 5 petang pada 6 Mei lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Lee Ka Full manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mengikut fakta kes, mangsa dan tertuduh bertengkar selepas mangsa mempersoalkan tindakan adiknya (tertuduh) yang tinggal di rumah sewanya.

Tertuduh yang tidak berpuas hati dengan soalan mangsa bertindak mengugut mahu menikam mangsa menggunakan pemutar skru.

Susulan laporan dibuat mangsa di Balai Polis Manir, tertuduh ditahan di tepi jalan Kampung Sekati, Manir, jam 2.15 petang pada 9 Mei lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Oktober 2019 @ 2:15 PM