MOHD Derus (kiri) dan Adi Zulazhar terpaksa menggunakan meriam karbaid bagi menghalau gajah yang cuba menceroboh kebun nangka mereka. FOTO Mohd Rafi Mamat
Mohd Rafi Mamat
am@hmetro.con.my


MENGGUNAKAN meriam karbaid dan memasang lampu kelip berwarna biru dalam kawasan kebun antara kaedah terkini digunakan pekebun nangka bagi menghalang gajah memasuki dan memusnahkan tanaman mereka di Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Kota Perdana, dekat Pekan.

Pekebun terpaksa mengeluarkan belanja antara RM500 hingga RM1,000 untuk membeli peralatan itu bagi memastikan gajah tidak menceroboh kebun mereka.

Bagi Adi Zulazhar Azizan, 36, dia dan dua pekerja terpaksa menggunakan meriam karbaid bagi menakutkan kumpulan gajah yang cuba menceroboh kebunnya yang terletak berhampiran kawasan hutan.

“Setiap malam saya terpaksa berkawal bagi memastikan haiwan itu tidak menceroboh kebun nangka dan sayur. Apabila terdengar bunyi gajah, meriam karbaid akan dibunyikan.

“Bunyi letupan meriam karbaid dapat menakutkan gajah dan kos menyediakan alat itu juga murah dan mudah,” katanya yang berharap agensi berkaitan dapat memberi perhatian masalah dihadapi pekebun.

Sementara itu, pekebun Mohd Derus Abdul Latif, 58, berkata, setiap tahun dia dan pekebun lain terpaksa membeli lampu kelip untuk diletakkan dalam kebun bagi menakutkan gajah.

Menurutnya, ancaman gajah yang semakin ketara tahun ini memaksa dia menyediakan lebih banyak lampu berkenaan.

Katanya, kedudukan TKPM Kota Perdana yang terletak bersebelahan dengan Hutan Simpan Ibam memudahkan lagi kumpulan haiwan berkenaan masuk ke kawasan kebun dan memusnahkan tanaman nangka.

“Saya terpaksa menyediakan lebih 30 lampu kelip termasuk 15 lampu bulat yang menggunakan kuasa elektrik dalam kawasan kebun seluas lapan hektar.

“Cahaya lampu dapat membantu menghalang kumpulan gajah daripada menceroboh kebun dan memusnahkan pokok nangka yang kini sedang mengeluarkan hasil.

“Rakan saya menggunakan meriam karbaid yang menghasilkan bunyi letupan kuat, dua unit alat berkenaan digunakan sejak dua minggu lalu,” katanya di Pekan, hari ini.

Beliau berkata, selepas menceroboh 15 kebun peserta TKPM Muadzam Shah minggu lalu yang menyebabkan kerugian kira-kira RM3.5 juta, kumpulan gajah terbabit kini mula cuba menyerang TKPM Kota Perdana yang terletak bersebelahan.

Mohd Derus berkata, cubaan haiwan berkenaan untuk menyerang TKPM Kota Perdana berlaku hampir setiap malam namun tindakan pantas pekerja berjaya menghalangnya menggunakan pelbagai cara.

Katanya, usaha lain digunakan untuk menakut gajah ialah membuat bising dengan menggunakan mesin memotong kayu dan mengetuk tin kosong.

“Saya merayu kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Pahang supaya menangkap dan memindahkan haiwan itu, difahamkan terdapat 10 hingga 12 gajah di sini.

“Kalau tidak dapat pindahsemua... dua hingga tiga ekor sudah memadai dalam usaha mengurangkan ancaman yang berlaku sejak lebih 10 tahun lalu,” katanya yang memiliki lebih 800 pokok nangka jenis J33.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Oktober 2019 @ 1:07 PM