KETUA Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din (kiri) menunjukkan antara kereta curi yang dirampas dalam serbuan di sebuah bengkel di Serendah, Hulu Selangor, Rabu lalu. FOTO Nurul Hidayah Bahaudin
Nurul Hidayah Bahaudin
nurul.hidayah@hmetro.com.my


SERAMAI 12 lelaki termasuk tiga warga asing yang aktif mencuri kenderaan tempatan model lama sejak Ogos lalu ditahan dalam serbuan di bengkel di Serendah, Hulu Selangor, Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din berkata, semua suspek berusia 24 hingga 50 tahun itu ditahan di lokasi berkenaan 3.30 petang.

“Hasil serbuan itu, pihaknya merampas 21 kenderaan pelbagai model termasuk Proton Saga dan Proton Iswara yang dilaporkan hilang sebelum ini.

“Modus operandi sindiket ini adalah mensasarkan kereta diletakkan di tepi jalan untuk dicuri sebelum ia dileraikan bagi mendapatkan komponen yang dijual kepada pelanggan dengan harga antara RM50 hingga RM300 bergantung kepada jenis alat ganti,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, hari ini.

Mohd Zani berkata, hasil soal siasat dilakukan, semua suspek mengaku terbabit dengan 30 kes curi kenderaan di sekitar Lembah Klang sejak Ogos lalu.

“Daripada 21 kenderaan yang dirampas dalam serbuan itu, lapan kenderaan hilang dilaporkan di Petaling Jaya selain di Subang Jaya, Klang Selatan, Klang Utara, Kajang, Cheras dan Brickfields.

“Semakan mendapati, enam daripada suspek terbabit mempunyai rekod berkaitan kes jenayah dan penyalahgunaan dadah.

“Hasil ujian saringan air kencing dilakukan mendapati semua suspek negatif dadah,” katanya.

Katanya, semua suspek direman sehingga esok untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 379(A) Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan,” katanya.

“Pembeli komponen dengan sindiket terbabit diminta tampil di balai polis berhampiran untuk menyerahkan alat ganti yang dibeli bagi mengelak tindakan undang-undang dikenakan atas kesalahan memiliki barang curi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Oktober 2019 @ 12:36 PM