LAPORAN muka depan akhbar Harian Metro hari ini.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor
hafidzul@hmetro.com.my


SERAMAI 10 pegawai kanan dan 33 anggota pelbagai pangkat yang terbabit dalam penyelewengan di sempadan negara sudah diambil tindakan sejak 2014.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, tindakan berkenaan sudah diambil pihak Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) dan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) dengan memantau aktiviti penguatkuasaan petugas khususnya Pasukan Gerakan Am (PGA).

Beliau berkata, pegawai dan anggota terbabit dikenakan tindakan tatatertib, ditahan kenaikan pangkat dan gaji selain denda serta menempatkan mereka di pos untuk jangka masa tertentu sebagai proses pemulihan kaunseling.

“Ada juga kes di mana kes tidak boleh didakwa di mahkamah atas faktor teknikal. Tapi kita tetap serius mengambil tindakan terutama secara dalaman.

“Selain itu, beberapa cadangan dikemukakan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi memastikan anak buah saya terhindar daripada kegiatan penyelewengan. Kita akan menempatkan pegawai di pusat kawalan termasuk pemantauan kamera litar tertutup (CCTV) selain dilengkapkan elemen polis, MKN, Agensi Kawalan Sempadan (AKSEM),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pelepasan Konvoi Ride Bersekutu 2019 di Dataran Puncak Alam, Kuala Selangor, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Eksekutif Puncak Niaga Holdings Bhd, Tan Sri Rozali Ismail dan Pengarah Bahagian Penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Putrajaya, Khairul Anwar Bachok.

Abdul Hamid berkata, pegawai bermasalah dalam jabatan tidak perlu ditukarkan serta merta ke jabatan lain.

“Saya dapati amalan tukarkan pegawai dan anggota bermasalah dari unit lain ke PGA adalah sesuatu yang tidak baik seolah-olah menyapu sampah di bawah karpet. Sekiranya bermasalah, ia mesti diselesaikan di jabatan itu dan tidak boleh tukarkan ke tempat lain seperti PGA misalnya.

“Ini bagi memastikan mereka yang bermasalah tidak mempengaruhi warga kerja di PGA,” katanya.

Menurut Abdul Hamid, pihaknya juga sudah berbincang dengan kerajaan untuk meningkatkan jumlah bilangan pegawai dan anggota JIPS yang mana jumlah terkini hanya 0.56 peratus daripada 130,000 keanggotaan.

Terdahulu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), semalam, mendedahkan kegiatan rasuah berleluasa di sepanjang sempadan Malaysia-Thailand dipercayai didalangi pihak berkuasa.

Lebih menggemparkan apabila SPRM menayangkan beberapa klip video yang memaparkan bagaimana penyeludupan berlaku, manakala penguat kuasa sekadar ‘berpeluk tubuh’ seolah-olah tiada perkara berlaku tanpa mengambil sebarang tindakan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Oktober 2019 @ 12:33 PM