KUALA LUMPUR 21 OKTOBER 2018. Pintu masuk Universiti Malaya, untuk bajet 2019. NSTP/SAIFULLIZAN TAMADI
Faliq Lajim
faliq.lajim@nstp.com.my


UNIVERSITI Malaya (UM) tidak akan menarik balik graduan kejuruteraan awam yang melakukan protes ketika majlis konvokesyen yang mendesak Naib Canselor universiti itu meletak jawatan, baru-baru ini.

Pengerusi Lembaga Pengarah UM, Tengku Datuk Dr Mohd Azzman Shariffadeen Tengku Ibrahim berkata, pihaknya turut tidak menahan skrol dan transkrip akademik graduan terbabit.

Menurutnya, pengedaran skrol dan transkrip akademik secara berpusat dilakukan mulai 12 hingga 20 Oktober 2019.

“Graduan terbabit sudah pun dimaklumkan bahawa transkrip akademiknya boleh diambil pada bila-bila masa bermula 18 Oktober (semalam).

“Graduan juga boleh mengakses dan mencetak skrol atas talian melalui sistem graduand.um.edu.my mulai 21 Oktober (Isnin ini),” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, UM menghormati hak dan prinsip kebebasan bersuara setiap individu yang bernaung di bawah universiti ini.

Katanya, setiap warga universiti termasuk mahasiswa diberikan kesempatan dan ruang yang luas untuk menyuarakan pendapat dan pandangan dalam apa jua aspek.

“Atas dasar itu juga, UM sentiasa dilihat sebagai antara universiti yang amat liberal di negara ini. Namun, dalam melaksanakan kebebasan ini, hak orang lain juga perlu dihormati.

“Berhubung insiden lalu yang mana seorang graduan menunjukkan bantahan di atas pentas semasa Istiadat Konvokesyen lalu, kami berpandangan bahawa perbuatan itu tidak menghormati Istiadat dan mencemarkan majlis.

“Tindakan beliau juga tidak menghormati graduan yang diraikan serta ibu bapa dan tetamu yang hadir. Lembaga Pengarah Universiti amat kesal dengan kejadian yang berlaku dan memohon maaf kepada para graduan, ibu bapa dan tetamu jemputan atas gangguan kepada majlis,” katanya.

Sementara itu, Tengku Mohd Azzman Shariffadeen berkata, UM sentiasa mengangkat penyebaran ilmu dan wacana ilmiah sebagai agenda lazimnya.

“Atas dasar itu jugalah, Kongres Maruah Melayu dianjurkan oleh Pusat Kajian Kecemerlangan Melayu (PKMM) pada 6 Oktober lalu.

“Ia sebagai sebuah wacana akademik bagi mengenal pasti, membincang dan mencadangkan resolusi kepada pelbagai cabaran yang dihadapi oleh orang Melayu hari ini dari aspek politik, ekonomi, pendidikan, budaya dan agama,” katanya.

Menurutnya lagi, pihak pengurusan UM akan lebih berhati-hati dan melaksanakan ketelitian wajar yang lebih ketat dan dinamik agar program yang disertai mempertimbangkan semua aspek kepentingan negara sejajar dengan matlamat universiti serta prinsip-prinsip yang didukung.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Oktober 2019 @ 12:07 PM