Foto hiasan
Nurul Hidayah Bahaudin
nurul.hidayah@hmetro.com.my


POLIS menahan seorang lelaki disyaki terbabit dalam kes pembunuhan anggota polis bantuan wanita di apartment di Damansara Damai, di Petaling Jaya, 8.40 malam tadi.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din berkata, pihaknya menerima laporan daripada adik angkat mangsa berusia 25 tahun yang memaklumkan menemui wanita terbabit dalam keadaan tidak sedarkan diri di rumah berkenaan 12.40 tengah malam, hari sama.

“Ketika anggota bertugas masuk ke rumah berkenaan, ia didapati dalam keadaan tidak terurus dan tiada kesan pecah masuk.

“Mangsa berusia 25 tahun itu ditemui dalam keadaan terlentang dengan kesan lebam di dahi, mata dan bawah leher hingga ke dada selain di bahagian muka terdapat kesan lebam dan pendarahan di hidung,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, hari ini.

Mohd Zani berkata, pemeriksaan lanjut dilakukan mendapati tiada senjata ditemui di lokasi kejadian selain telefon bimbit dan dompet milik mangsa hilang.

“Hasil bedah siasat dilakukan di Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh mendapati punca kematian mangsa disebabkan tekupan dipercayai menggunakan bantal di bahagian muka sehingga menyebabkan halangan pada saluran pernafasan hidung dan mulut.

“Pemeriksaan juga mendapati mangsa mengalami kecederaan di bahagian kepala akibat hentakan atau pukulan daripada objek tumpul serta lebam kedua-dua mata dipercayai kerana ditumbuk selain hentakan kuat menyebabkan hidungnya patah,” katanya.

Beliau berkata, siasatan lanjut mendapati rumah itu disewa suspek berusia 22 tahun yang juga bekas rakan serumah mangsa di kediaman terbabit.

“Suspek kemudian ditahan di perkarangan Balai Polis Kampung Baru Subang, malam tadi. Motif kejadian masih dalam siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Oktober 2019 @ 11:59 AM