MANGSA dalam keadaan separuh sedar diselamatkan pasukan bomba. FOTO Ihsan Bomba
Recqueal Raimi
cnews@nstp.com.my


SEORANG lelaki dipercayai dalam keadaan separuh sedar berdepan detik cemas apabila terpaksa bertahan di atas pokok kelapa setinggi 15 meter sementara menunggu diselamatkan pasukan bomba di Kampung Pirasan, Kota Belud, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 2 petang itu, mangsa, Ariffin Luis, 47, dilihat dalam keadaan lemah ketika diselamatkan sebelum dihantar ke Hospital Kota Belud untuk menerima rawatan lanjut.

Difahamkan, sebelum kejadian mangsa ingin memetik buah kelapa sebelum suara mangsa meminta bantuan didengari penduduk kampung lain.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daerah Kota Belud, Muhammad Syazwan Latun berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 2.06 petang dan seramai sembilan anggota bersama dua jentera dikejar ke lokasi.

Katanya, sebaik tiba, operasi menyelamatkan mangsa segera dilakukan.

“Pasukan bomba menggunakan tangga untuk memanjat pokok terbabit dan menurunkan mangsa menggunakan kaedah ‘lowering tali belay’ dan ‘main line’ untuk turun ke bawah.

“Mangsa kemudian dihantar ke Hospital Kota Belud untuk menjalani rawatan dan dilaporkan stabil,” katanya dalam satu kenyataan media, semalam.

Muhammad Syazwan berkata, operasi kemudian ditamatkan 3.28 petang.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Oktober 2019 @ 11:31 AM