KEJADIAN tanah runtuh menghala ke Cameron Highlands dari Simpang Pulai. FOTO Ihsan APM
Muhammad Apendy Issahak
apendy@nstp.com.my


PENGGUNA Jalan Simpang Pulai - Cameron Highlands dinasihatkan agar lebih berhati-hati menggunakan laluan itu susulan berlakunya kejadian runtuh di kawasan terbabit tengah malam tadi.

Difahamkan kejadian tanah runtuh itu berlaku 12.30 tengah malam tadi membabitkan laluan di FT 185 membabitkan kawasan daerah Kinta.

Tanah runtuh membabitkan kawasan sepanjang 100 meter dengan kedalaman runtuhan dianggar 20 meter dan susulan itu satu laluan di kawasan yang terjejas ditutup.

Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Pertanian dan Perladangan Perak, Abdul Yunus Jamhari berkata, pihaknya sedang mendapatkan maklumat berhubung bencana tanah runtuh itu dan menasihatkan orang ramai berwaspada ketika melalui kawasan yang terjejas.

“Saya sedang dapatkan maklumat lanjut mengenai kejadian daripada pihak Jabatan Kerja Raya (JKR).

“Mohon pengguna waspada apabila melalui kawasan terbabit apatah lagi jumlah kenderaan bertambah pada hujung minggu di laluan berkenaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau turut menggesa pihak yang berkaitan mengambil tindakan segera bagi membendung sebarang kejadian buruk berlaku.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Oktober 2019 @ 9:28 AM