GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Siti A’isyah Sukaimi
sitiaisyah@hmetro.com.my


HARGA runcit petrol RON97 naik satu sen seliter daripada RM2.67 seliter kepada RM2.68 seliter manakala, RON95 dan diesel masing-masing kekal pada RM2.08 seliter dan RM2.18 seliter berkuat kuasa 12 tengah malam ini.

Kementerian Kewangan dalam kenyataannya berkata, harga runcit produk petroleum berkenaan adalah bagi tempoh 19 hingga 25 Oktober berdasarkan penetapan secara mingguan menggunakan formula Mekanisme Harga Automatik (APM).

“Berdasarkan pengiraan di bawah formula APM, harga runcit produk petrol RON95 dan diesel bagi tempoh yang sama masing-masing sepatutnya RM2.38 seliter dan RM2.31 seliter.

“Ini menunjukkan kenaikan dari minggu lalu bagi harga runcit produk petrol RON95 yang berada pada paras RM2.37 seliter dan diesel berada pada paras RM2.27 seliter.

“Namun, harga runcit bagi kedua-dua produk dikekalkan pada paras RM2.08 seliter dan RM2.18 seliter selaras dengan keputusan kerajaan untuk menstabilkan harga runcit bagi produk petroleum dan menjaga kesejahteraan ekonomi rakyat,” katanya, hari ini.

Sementara itu, kenyataan itu menyebut, dengan pengekalan harga runcit bagi kedua-dua produk berkenaan, anggaran subsidi perlu ditanggung oleh kerajaan bagi tempoh 19 hingga 25 Oktober berjumlah RM123.81 juta.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Oktober 2019 @ 5:15 PM