Idris Musa
idris@hmetro.com.my


GABUNGAN Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) menyerahkan memorandum menyatakan sokongan padu kepada Naib Canselor Universiti Malaya (UM) supaya tidak tunduk kepada desakan melepaskan jawatan.

Presiden GPMS, Mohd Alif Anas Md Noor berkata, pihaknya menolak sekeras-kerasnya tindakan mana-mana pihak mempersoalkan kedudukan Naib Canselor UM, Dr Abdul Rahim Hashim.

Menurutnya, Naib Canselor sebagai ketua pengurusan universiti dijamin hak kebebasan untuk menyuarakan pendapat dan kajian selaku ahli akademik.

“Institusi Naib Canselor mempunyai keistimewaan dan kebebasan akademik untuk menyampaikan pendapat mengenai sebarang isu dalam ruang lingkup undang-undang.

“Kami juga menyokong kehadiran dan pembabitan Naib Canselor UM ke Kongres Maruah Melayu dan perkongsian acara itu adalah menepati peranan beliau sebagai ahli akademik dan pengurusan universiti,” katanya selepas Himpunan Mempertahankan Naib Canselor UM di perkarangan pintu masuk universiti berkenaan, hari ini.

Himpunan membabitkan GPMS dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk Keilmuan Nasional serta Aktivis Penang berlangsung selepas solat Jumaat selama kira-kira setengah jam dalam keadaan aman.

Program turut diawasi pasukan keselamatan bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini manakala wakil GPMS menyerahkan memorandum kepada pihak UM selepas himpunan.

Mohd Alif Anas berkata, pihaknya memberi amaran kepada mana-mana pihak supaya tidak kurang ajar dalam agenda mereka dan harus menghormati kebebasan akademik institusi pengajian tinggi negara.

“Kami di GPMS tidak kira pelajar itu Melayu, Cina atau India, sekiranya biadap dalam majlis seperti majlis konvokesyen perlu diambil tindakan tanpa mengira warna kulit, bangsa dan agama.

“Kita bukan membawa isu rasis, tetapi isu biadap dan ini memalukan UM sebagai universiti terulung dan berada dalam kedudukan dunia.

“GPMS ingin berpesan kepada golongan mahasiswa, kebebasan bersuara itu boleh di mana-mana tetapi perlulah mengikut masa dan tempat tanpa mencemarkan nama baik institusi,” katanya.

Beliau berkata, GPMS juga mendesak Kementerian Pendidikan dan menterinya, Dr Maszlee Malik memberi jaminan dan perlindungan kepada universiti dan Naib Canselor atas prinsip kebebasan akademik.

Isnin lalu, graduan UM, Wong Yan Ke, 23, dilaporkan nekad memprotes kepimpinan Naib Canselor selepas menerima ijazah pada majlis konvokesyen universiti itu.

Tindakannya ketika istiadat konvokesyen dikatakan sebagai tanda bantahan terhadap Abdul Rahim yang didakwa menggunakan nama UM untuk politik kaum ketika Kongres Maruah Melayu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Oktober 2019 @ 5:04 PM
PENUNTUT UM mempertahankan naib canselor mereka di hadapan Universiti Malaya. FOTO MUSTAFFA KAMAL