PELAJAR tahfiz disimbah air panas masih dirawat di HKL. Foto Ihsan Pembaca.
Nurul Hidayah Bahaudin
nurul.hidayah@hmetro.com.my


BERMULA dengan ejek-mengejek hingga membawa kepada pergaduhan yang kemudian mendorong kanak-kanak lelaki menyimbah air panas terhadap rakan setahfiznya.

Kejadian di pusat tahfiz di Keramat, Kuala Lumpur pada Rabu lalu, menyebabkan mangsa yang berusia 13 tahun melecur di dada, perut dan belakang badan.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Superintendan Rajab Ahad Ismail berkata, pihaknya menerima laporan kejadian selepas bapa mangsa berusia 37 tahun membuat laporan sebaik dimaklumkan kejadian menimpa anaknya pada 4 pagi hari kejadian.

“Mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan dan ketika berada di situ, pengurusan tahfiz memberitahu bapa mangsa kejadian itu (anaknya disimbah air panas) menyebabkan dia membuat laporan polis.

“Laporan dibuat di Balai Polis Jalan Tun Razak dan susulan itu, kita menahan pelajar tahfiz yang berusia 12 tahun untuk siasatan lanjut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Rajab Ahad berkata, siasatan awal, kanak-kanak itu mengaku menyimbah air panas terhadap mangsa selepas mereka bergaduh pada 14 Oktober lalu yang bermula dengan ejek-mengejek.

“Pertengkaran berlarutan yang mendorong kanak-kanak itu menyimbah air panas ke atas mangsa pada Rabu.

“Sebelum itu, (ketika pergaduhan pada Isnin) pengurusan tahfiz sudah mengambil tindakan terhadap kedua-duanya dan memaklumkannya kepada ibu bapa mereka,” katanya.

Menurutnya, keadaan mangsa dilaporkan stabil namun, masih dalam pantauan doktor.

“Kanak-kanak itu dibebaskan dengan jaminan polis dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan,” katanya yang memberitahu kertas siasatan akan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Oktober 2019 @ 5:00 PM