JAPRI (gambar kecil) yang meninggal dunia ketika bermain badminton di Dewan Seri Bernam, Sabak Bernam. FOTO IHSAN PEMBACA
Amirul Aiman Hamsuddin
am@hmetro.com.my


“ARWAH adik sepatutnya bertolak ke Batu Pahat, Johor, malam ini, bagi menghadiri majlis konvokesyen anak keduanya di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) yang dijadualkan berlangsung esok,” kata Idris Ismail.

Idris, 62, adalah abang kepada Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Batu 38, Sabak Bernam, Japri Ismail, 53, yang meninggal dunia akibat sakit jantung selepas bermain badminton di Dewan Seri Bernam, malam tadi.

Menurut Idris, arwah adiknya sebelum ini memberitahu mahu bertolak hari ini dan singgah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk mengambil seorang lagi anaknya dari Sabah sebelum ke Johor.

“Hasrat arwah adik meraikan hari bersejarah anaknya itu tidak kesampaian kerana dia pergi buat selamanya,” katanya.

Idris berkata, dia mengetahui berita kematian arwah melalui adik iparnya, Rabiah Badron, 52.

“Waktu itu, saya sedang tidur sebelum dikejutkan dengan panggilan telefon. Bila lihat di skrin, nombor arwah terpampang.

“Saya jawab panggilan dan kedengaran suara teresak dari isteri arwah mengatakan arwah adik sudah tiada,” katanya ketika ditemui di kediaman arwah di Taman Gemilang, hari ini.

Dalam pada itu, Idris berkata, arwah baru sahaja menyambut hari lahirnya pada 16 Oktober lalu dan mengucapkan terima kasih kepada yang mendoakan melalui aplikasi WhatsApp.

“Namun, tidak sangka Allah SWT lebih menyayanginya. Kami reda dan berdoa arwah diberi kebaikan dunia akhirat,” katanya yang menetap di Seksyen U14, Shah Alam.

Menurutnya, arwah disifatkan sebagai seorang disenangi dalam kalangan keluarga dan saudara-mara selain aktif dalam badminton.

Arwah meninggalkan seorang isteri dan tiga anak berusia 21 hingga 26 tahun.

Terdahulu, jenazah Japri dimandikan dan dikafankan di Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam dan dibawa ke rumah keluarganya sebelum ke Masjid Taman Padu Permai untuk disembahyangkan.

Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Limau selepas solat Jumaat.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Oktober 2019 @ 4:05 PM