LIMA belas keluarga membabitkan 62 orang berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Serbaguna Jalan Hamzah selepas kediaman mereka berlaku tanah mendap. FOTO Ihsan APM
Faliq Lajim
faliq.lajim@nstp.com.my


PENDUDUK Flat PKNS, Jalan Tun Razak di Kampung Baru, Kuala Lumpur trauma apabila berlaku hujan lebat luar biasa yang menyebabkan banjir kilat.

Malah, ada yang terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Serbaguna Jalan Hamzah susulan berlaku tanah mendap berhampiran jalan di kediaman mereka.

Penduduk, Mohd Noor Husaini Amran, 38, berkata, banjir yang berlaku semalam adalah kejadian kali kedua dalam tempoh sebulan.

“1 Oktober lalu, banjir naik sehingga paras peha, semalam naik paras lutut. Kejadian itu juga menyebabkan jalan di hadapan rumah kami merekah sehingga menyebabkan mendapan dan berlubang.

“Kami tinggal di sini sudah lama, banjir hanya berlaku sekiranya ada pembinaan yang dibuat di sekitar sini. Kami percaya ia berlaku disebabkan pembinaan rancangan tebatan banjir di susur masuk Jalan Tun Razak.

“Disebabkan projek tidak mahu banjir di sana, kami pula terpaksa menanggung banjir di sini,” katanya kepada Harian Metro.

Menceritakan kejadian banjir yang berlaku semalam, Mohd Noor Husaini berkata, ketika itu dia berada di surau untuk menunaikan solat Maghrib di kawasan terbabit.

“Hujan bermula sekitar 6.50 petang dan 30 minit kemudian rumah kami semua di tingkat bawah sudah dinaiki air sehingga paras lutut.

“Banyak barang yang rosak seperti peralatan elektrik termasuk perabot. Saya juga terpaksa menempatkan sementara anak yang berusia sebulan ke rumah jiran di tingkat satu sebelum semuanya reda,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi penduduk, Nazrul Nizam Affandi, 26, berkata, dia terpaksa mengambil cuti bagi membersihkan rumahnya berikutan dinaiki air.

“Penat daripada membersihkan rumah akibat banjir sebelum ini pun masih belum hilang. Semalam banjir lagi.

“Kami harap pihak bertanggungjawab yang menyebabkan banjir serta jalan yang mendap untuk tampil menyelesaikan masalah ini dengan segera,” katanya.

Harian Metro hari ini melaporkan 15 keluarga membabitkan 62 orang berpindah ke PPS selepas ia dibuka pada 1.20 pagi hari ini selepas berlaku tanah mendap berhampiran flat berkenaan.

Berita berkaitan

Tanah mendap, 15 keluarga ke PPS

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Oktober 2019 @ 3:51 PM