Siti A’isyah Sukaimi
sitiaisyah@hmetro.com.my


SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini mendedahkan rakaman video menunjukkan aktiviti penyeludupan dan pembolosan di sempadan Malaysia-Thailand.

Rakaman video yang ditunjukkan kepada pihak media pada sidang media hari ini membabitkan aktiviti penyeludupan di sempadan Padang Besar, Perlis dan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Padang Besar.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya berkata, rakaman video berkenaan akan membantu pihak SPRM dalam penyiasatan bagi membanteras amalan rasuah secara terbuka.

“Kami sudah menyerahkan video klip berkenaan kepada Ketua Polis Negara dan akan bekerjasama untuk mengambil tindakan sewajarnya.

“Rakaman video yang diperolehi ini membabitkan aktiviti penyeludupan sejak 2017 dan terbaharu pada Mei 2019 yang mana ia berterusan dalam tempoh lama,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi), SPRM Datuk Seri Azam Baki, Pengarah Bahagian Forensik SPRM, Husin Mohamad Nasir dan Ketua Cawangan Audio Video Bahagian Forensik SPRM, Badri Azni.

Ditanya berhubung penyeludupan berkenaan, Latheefa berkata, aktiviti itu dipercayai membabitkan penyeludupan masuk barangan dari Malaysia ke Thailand atau sebaliknya.

“Kita lihat betapa mudahnya aktiviti ini berlaku di sempadan disebabkan rasuah jadi, SPRM mengambil peranan ini untuk membanteras amalan berkenaan,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, bukan saja di sempadan utara, pihaknya juga turut memantau di semua sempadan negara malah, SPRM mempunyai bukti video di sempadan Bukit Kayu Hitam dan Kelantan.

“Kita tunggu sehingga pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) maklumkan apa situasi dan tindakan yang akan diambil. Kita ada beribu-ribu dan berjam-jam (video) membabitkan (aktiviti) dalam tempoh lama jadi, penting kepada kita untuk mengenal pasti,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kerjasama turut dibuat bersama PDRM termasuk pihak berkuasa lain iaitu Jabatan Imigresen, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Terdahulu, Badri ketika memberi penerangan berhubung video berkenaan memaklumkan, aktiviti penyeludupan dan pembolosan itu dipercayai berlaku sekitar 6 pagi hingga 9 pagi iaitu sewaktu penukaran shif anggota keselamatan di sempadan.

Katanya, rakaman turut menunjukkan beberapa individu memikul barangan dari kenderaan dan membawanya ke pagar di sempadan Padang Besar.

Beliau berkata, barangan dipikul itu juga kemudiannya diambil oleh individu lain iaitu penduduk Thailand yang sedia menunggu di sebelah pagar berkenaan.

“Antara barangan yang dipercayai diseludup keluar seperti tepung, minyak masak, diesel, petrol, baja selain daun ketum.

“Pada masa sama, rakaman di CIQ memperlihatkan kenderaan pendaftaran asing memunggah barangan kami syaki penyeludupan. Bagaimanapun, anggota penguatkuasa seolah-olah tidak mengetahui walaupun berlaku di depan mereka.

“Selain itu, kelihatan anggota di pos kawalan bermain telefon bimbit tanpa mengambil tindakan atau membuat rondaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Oktober 2019 @ 3:32 PM
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya bersama Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki, Pengarah Bahagian Forensik SPRM, Husin Mohamad Nasir dan Ketua Cawangan Audio Video, Bahagian Forensik SPRM, Badri Azni melihat video penyeludupan di sempadan ketika sidang media khas berkaitan pembolosan sempadan negara akibat daripada aktiviti rasuah di Putrajaya. FOTO: Mohd Fadli Hamzah