MUSA (kanan) hadir bagi sebutan semula kesnya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali.
Murni Wan Omar
murni@hmetro.com.my


MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur, hari ini membenarkan permohonan pendakwaan untuk menarik balik lima daripada 35 pertuduhan rasuah berjumlah RM263 juta yang dikenakan terhadap bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman.

Hakim Collin Lawrence Sequerah membenarkan permohonan itu selepas sebutan semula kes berkenaan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Umar Saifuddin Jaafar memaklumkan bahawa siasatan terhadap lima kes itu masih lagi berjalan.

“Penarikan adalah kerana tertuduh masih mempunyai 30 lagi pertuduhan rasuah di mahkamah ini.

“Oleh itu, kami memohon untuk menarik lima pertuduhan dan Musa dilepaskan tanpa dibebaskan,” katanya.

Penarikan itu menjadikan jumlah wang bagi pertuduhan rasuah yang dikenakan terhadap Musa adalah RM209.2 juta.

Sementara itu, pertuduhan dibacakan semula terhadap Musa selepas pihak pendakwaan meminda 30 pertuduhan rasuah dan 16 pertuduhan pengubahan wang haram itu.

Menurut Umar, pindaan dibuat berikutan terdapat kesilapan tarikh transaksi dan nama kontraktor dalam kertas pertuduhan.

Musa mengekalkan pengakuan tidak bersalah dan mohon dibicarakan atas semua pertuduhan terbabit.

Bagi pertuduhan rasuah, Musa didakwa melakukan semua perbuatan itu di lapan institusi kewangan di Hong Kong dan Singapura antara 20 Disember 2004 dan 6 November 2008.

Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 11(a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 16 akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Manakala bagi 16 pertuduhan pengubahan wang haram, Musa didakwa membabitkan diri secara tidak langsung dalam transaksi pengubahan wang haram dengan mengarah Richard Christopher Barnes, 67, untuk membuka satu akaun di UBS AG atas nama lelaki itu bagi tujuan menerima hasil aktiviti haram.

Tertuduh juga berdepan tuduhan alternatif, iaitu menyembunyikan pemilikan dari hasil aktiviti haram berkenaan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di UBS AG Singapura dan Central Hong Kong Special Administrative Region of the Republic of China, antara 21 Jun 2006 hingga 14 Jun 2008.

Musa didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda lima kali ganda nilai hasil daripada aktiviti haram atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Oktober 2019 @ 3:31 PM