MOHD Razali (kanan) melihat keadaan salah seorang murid SK Merchong Jaya yang dirawat di Hospital Pekan selepas disengat tebuan tanah. FOTO MOHD RAFI MAMAT
Mohd Rafi Mamat
am@hmetro.com.my


KEGEMBIRAAN sembilan murid tahun satu dan dua Sekolah Kebangsaan (SK) Merchong Jaya, Pekan, mengikuti latihan merentas desa bertukar tragedi apabila disengat tebuan tanah, kelmarin.

Kejadian kira-kira 9.30 pagi menyebabkan mangsa dikejarkan ke Klinik Kesihatan Nenasi sebelum tiga daripadanya dirujuk ke Hospital Pekan.

Pegawai Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Pekan, Mohd Razali Mustafar berkata, kejadian itu adalah yang pertama berlaku di daerah ini.

“Kejadian dipercayai berlaku apabila kumpulan murid secara tidak sengaja terpijak sarang tebuan yang berada di laluan merentas desa.

“Saya difahamkan pihak sekolah sudah membuat pemeriksaan di sepanjang laluan merentas desa beberapa hari sebelum latihan namun tidak menemui sarang tebuan tanah,” katanya, hari ini.

Katanya, tiga murid terpaksa dimasukkan ke Hospital Pekan berikutan keadaan mereka yang lemah kerana terlalu banyak terkena sengatan.

Bagaimanapun, hanya seorang murid sahaja masih menerima rawatan di hospital dan keadaannya dilaporkan stabil manakala dua lagi sudah dibenarkan keluar.

Razali berkata, sekolah berkenaan mempunyai seramai 566 murid dari tahun satu hingga enam dan pada hari kejadian, semua murid mengikuti latihan merentas desa secara berperingkat.

“Saya ingin menasihatkan semua sekolah di daerah ini supaya memastikan keselamatan murid dan pelajar dalam setiap aktiviti luar dilakukan bagi mengelakkan kejadian sama berulang.

“Jika boleh elakkan laluan bersemak kerana ia boleh mendatangkan bahaya kepada murid dan pelajar,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Oktober 2019 @ 3:24 PM