SIM (tengah) bersama Saiful Yazan memeriksa ayam sejuk beku Isnin lalu. FOTO Sadam Yusoff.
Siraj Mohd Zaini
siraj@hmetro.com.my


CUBAAN menyeludup produk ayam sejuk beku menggunakan dua kontena dengan berat keseluruhan 51.8 tan berjaya digagalkan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS), Isnin lalu.

Produk terbabit dipercayai dibawa masuk dari Hong Kong oleh syarikat pengimport tempatan tanpa permit import sah dan tiada sijil kesihatan veterinar dari negara asal dan sijil halal.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Sim Tze Tzin berkata, pemeriksaan lanjut mendapati syarikat itu juga cuba mengelirukan pihak berkuasa dengan mengisytihar konsainan dibawa sebagai mi wantan.

Bagaimanapun, label pada setiap kotak ayam itu menunjukkan konsainan dikeluarkan dari loji sembelihan di Brazil dan Poland.

“Loji sembelihan terbabit tidak diiktiraf oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia mahupun Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

“Sehubungan itu, MAQIS merampas 51.8 tan ayam itu bernilai RM818,508,” katanya pada sidang media di Pelabuhan Klang, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pengarah MAQIS Saiful Yazan Alwi; Timbalan Ketua Pengarah MAQIS Dr Azhari Sharidan Abu Bakar dan Pengarah MAQIS Selangor/ Negeri Sembilan Dr Tamisal Alimin.

Mengulas lanjut, Sim berkata, perbuatan mengimport produk tanpa permit menjadi kesalahan di bawah Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728).

Katanya, sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih RM100,000 atau dipenjarakan tidak lebuh enam tahun atau kedua-duanya.

Untuk rekod, mulai Januari hingga September lalu, MAQIS sudah menggagalkan 645 bagi pelbagai cubaan menyeludup di seluruh negara dengan nilai keseluruhan berjumlah RM47 juta.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Oktober 2019 @ 3:08 PM