Anak buaya yang berjaya ditangkap APM. FOTO IHSAN APM
Recqueal Raimi
am@hmetro.com.my


SEORANG penduduk tidak menyangka ikan dipelihara di kolam miliknya berkurangan sejak akhir-akhir ini rupanya dibaham sang bedal.

Dalam kejadian di Kampung Salimandut, Kota Marudu terbongkar selepas seekor anak buaya ditemui dalam kolam ketika kerja pembersihan dan pemasangan perangkap biawak dilakukan pekerjanya, semalam.

Menurut pemilik kolam yang mahu dikenali sebagai Hilman, 20, kehadiran reptilia sepanjang 1.27 meter disedari pekerja sebelum bertindak memaklumkan kepadanya.

“Pekerja saya turun ke kolam untuk membersihkan kolam dan ketika memungut kayu serta daun, dia terlihat objek bergerak sebelum kepala buaya itu timbul di permukaan air.

“Pekerja saya segera naik dan memaklumkan kejadian ini kepada saya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, dia menyangka selama ini ikan peliharaannya berkurangan akibat diratah biawak.

“Namun sangkaan saya salah apabila menyaksikan sendiri anak buaya di hadapan saya,” katanya.

Bimbang kehadiran sang bedal itu, Hilman segera menghubungi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) untuk mendapatkan bantuan.

Sementara itu, Pegawai APM Daerah Kota Marudu, Nazura Marlinda Sabran berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 6.45 pagi dan sepasukan anggota segera dikerah ke lokasi.

“Difahamkan, pengadu memaklumkan pekerjanya mahu memasang perangkap biawak namun terpaksa dibatalkan selepas melihat kelibat buaya di kolam berkenaan.

“Anak buaya seberat enam kilogram berjaya ditangkap menggunakan penjerut dan diserahkan kepada Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah manakala operasi ditamatkan 7.54 pagi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Oktober 2019 @ 11:11 AM