POLIS dan penguat kuasa MDPT menunjukkan iklan ‘ah long’ yang ditanggalkan di sekitar Pekan Kuala Nerang. FOTO IHSAN MDPT
Noorazura Abdul Rahman
am@hmetro.com.my


POLIS dengan kerjasama Majlis Daerah Padang Terap (MDPT) menurunkan 300 iklan ‘ah long’ menerusi operasi khas membanteras aktiviti pinjaman wang tidak berlesan.

Ketua Polis Daerah Padang Terap, Deputi Superintendan Noh Idris berkata, operasi itu dibuat di sekitar Pekan Kuala Nerang dan taman perumahan berdekatan.

“Operasi bermula 9 pagi sehingga 1.30 petang semalam tertumpu kepada poster iklan ah long yang dipasang atau dilekat pada tiang lampu, tembok dan bangunan sekitar pekan ini.

“Kita lihat semakin hari semakin banyak iklan sebegini ditampal di sekitar pekan Kuala Nerang, mereka menampal iklan tanpa kebenaran pendaftar mengikut Seksyen 6(1) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951,” katanya ketika dihubungi di Padang Terap, hari ini.

Noh berkata, pihaknya turut menyerahkan nombor telefon pada iklan itu kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi pembatalan perkhidmatan.

Katanya, walaupun polis belum menerima sebarang kejadian ugutan dan jenayah membabitkan ah long di kawasan itu, pihaknya mengambil langkah berjaga-jaga bagi mencegah kejadian sama berlaku.

“Polis akan mengadakan operasi ini berterusan bagi memastikan orang ramai tidak menjadi mangsa dengan peminjam wang haram,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Oktober 2019 @ 11:04 AM