ANGKATAN Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Kota Marudu menangkap buaya di Kampung Salimandut, Kota Marudu. FOTO Ihsan APM
Recqueal Raimi
cnews@nstp.com.my


SEORANG penduduk di Kampung Salimandut, dekat Kota Marudu, tidak menyangka ikan yang dipelihara di kolam miliknya berkurangan sejak akhir-akhir ini rupanya dibaham anak buaya.

Pemilik kolam yang mahu dikenali sebagai Hilman, 20, berkata, seekor anak buaya sepanjang 1.27 meter ditemui di dalam kolam ketika kerja pembersihan dan pemasangan perangkap biawak dilakukan pekerjanya di kolam itu semalam.

"Pekerja saya turun ke kolam untuk membersihkan kolam dan ketika memungut kayu serta daun, dia terlihat objek yang bergerak sebelum kepala buaya itu timbul di permukaan air.

"Pekerja saya segera naik sebelum memaklumkan perkara itu kepada saya," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya lagi, dia menyangka selama ini ikan peliharaannya berkurangan disebabkan dimakan biawak.

"Sangkaan saya salah apabila melihat sendiri buaya itu di hadapan saya," katanya.

Bimbang dengan kehadiran haiwan itu, Hilman segera menghubungi pihak Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) untuk mendapatkan bantuan.

Sementara itu, Pegawai APM Daerah Kota Marudu, Nazura Marlinda Sabran berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 6.45 pagi dan sepasukan anggota dikerah ke lokasi serta-merta.

"Difahamkan, pengadu memaklumkan pekerjanya ingin memasang perangkap biawak, namun terpaksa dibatalkan selepas melihat buaya di kolam berkenaan.

"Buaya itu kemudiannya berjaya ditangkap menggunakan penjerut sebelum diletakkan di dalam sangkar," katanya.

Nazura berkata, anak buaya seberat enam kilogram (kg) itu akan diserahkan kepada Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah manakala operasi ditamatkan 7.54 pagi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Oktober 2019 @ 8:48 AM