TAN (dua dari kanan) ketika menziarahi Farah Idayu (kanan) sekeluarga.
Oleh Hasbi Sidek
mohd.hasbi@hmetro.com.my


Kerajaan negeri akan membantu keluarga dua beradik yang masih bayi dan menghidap masalah jantung kronik supaya ibu bapa mereka mempunyai pendapatan lebih stabil.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paroi, Mohamad Taufek Abd Ghani berkata, berdasarkan maklumat daripada ibu bayi itu, Farah Idayu Mohd Shah, 29, suaminya Mohamad Azroy Ali, 25, berminat untuk menjalankan perniagaan makanan.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan negeri akan melihat keperluan keluarga ini.

“Saya difahamkan Mohamad Azroy menghadiri temu duga bagi jawatan pembantu am melalui SPA (Suruhanjaya Perkhidmatan Awam) di negeri ini.

“Kami bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mengambil butir mengenai keluarga ini dan sekiranya Mohamad Azroy memenuhi kriteria bagi jawatan itu, kerajaan negeri akan membantunya mendapatkan jawatan itu.

“Jika Mohamad Azroy mahu memulakan perniagaan, kerajaan negeri akan membantu dari segi modal melalui Tabung Pembangunan Usahawan Negeri Sembilan,” katanya ketika melawat keluarga itu di Taman Seremban Selatan di sini, semalam.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Hal Ehwal Wanita, Keluarga dan Kebajikan negeri, Nicole Tan Lee Koon berkata, sekiranya Farah Idayu berminat menambah pendapatan, beliau mencadangkan wanita terbabit menyertai program Power House Wanita.

“Program ini bertujuan memperkasakan wanita untuk menambah pendapatan dengan hanya bekerja di rumah. Kami akan kenal pasti apa kemahiran dia untuk dipraktikkan.

“Dari segi bantuan, sehingga kini keluarga Farah Idayu mendapat bantuan kewangan JKM RM300 sebulan.

“Mereka juga menerima bantuan lain seperti pengurangan caj hospital kerajaan kerana tersenarai sebagai penerima bantuan JKM,” katanya.

Sementara itu, Farah Idayu berkata, mereka sekeluarga tidak akan mensia-siakan bantuan yang diberi dan berterima kasih kepada semua pihak yang prihatin dengan nasib mereka.

Harian Metro sebelum ini melaporkan Nurfatihah dan Nuraisyah masing-masing setahun dan empat bulan menghidapi masalah jantung kronik dan memerlukan belanja besar bagi mengubati kedua-duanya.

Nurfatihah menghidap masalah jantung Tetralogy of Fallot (TOF) atau penyakit jantung konginetal sianotik selain Major Aorfa Pulmonary Colateral Arteries (MAPCA).

Sementara, Nuraisyah menghidap jantung berlubang (VSD), Duktus Arteriosus Terbuka (PDA).

Mohamad Azroy bekerja sebagai pembantu pasar malam dengan pendapatan RM1,000 manakala Farah Idayu mencari barang terpakai.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Oktober 2019 @ 7:02 AM