AHMAD Dzaffir (tengah) menunjukkan komputer riba yang dirampas dalam serbuan di IPD Kajang, semalam.
Oleh Hidayatul Akmal Ahmad
hidayatulakmal@nstp.com.my


Dua belas warganegara China termasuk tiga wanita ditahan kerana disyaki terbabit dengan sindiket perjudian dalam talian hasil serbuan di sebuah rumah banglo dua tingkat di Bukit Gita Bayu, Seri Kembangan di sini, Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, pasukan pegawai dan anggota Bahagian Anti Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang menyerbu banglo itu jam 10 malam.

“Ketika serbuan kami mendapati kumpulan lelaki dan wanita sibuk menjalankan urus niaga judi dalam talian menggunakan komputer riba serta telefon bimbit.

“Kami menahan sembilan lelaki dan tiga wanita warga China berusia antara 22 dan 57 tahun. Rampasan pula membabitkan dua set komputer, sembilan komputer riba, 22 telefon bimbit dan dua modem,” katanya pada sidang media di IPD Kajang di sini, semalam.

Ahmad Dzaffir berkata, semakan mendapati semua suspek itu mempunyai dokumen perjalanan tamat tempoh.

“Siasatan awal mendapati sindiket itu beroperasi sejak tiga bulan lalu yang menyasarkan pelanggan daripada China dan Hong Kong. Malah, sindiket ini dipercayai meraih transaksi keuntungan RM80,000 sehari.

“Semua suspek direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 4 (1)(C) Akta Pertaruhan 1953,” katanya.

Terdahulu pihaknya melupuskan 50,593 barang kes membabitkan cakera padat video (VCD) dan cakera padat digital (DVD) lucah serta cetak rompak serta mainan seks dianggarkan bernilai RM254,765.

“Semua barang kes itu membabitkan 53 kertas siasatan dari 2005 hingga 2018. Barang itu dilupuskan menggunakan sistem e-waste selaras dengan prosedur operasi standard digariskan Jabatan Alam Sekitar,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Oktober 2019 @ 6:45 AM