Wanita Vietnam yang juga GRO di sebuah premis karaoke di Batu 11, Cheras ditahan polis malam tadi. Foto Ihsan PDRM
Muhaamad Hafis Nawawi
mhafis@hmetro.com.my


PREMIS karaoke di Batu 11, Cheras diserbu polis selepas dikesan beroperasi tanpa lesen dan didapati menggunakan khidmat wanita warga Vietnam sebagai pelayan pelanggan (GRO).

Serbuan pada 11 malam tadi dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dalam Ops Noda.

Pegawai Turus D7 Selangor Deputi Superintendan Azmi Shukor berkata, polis menahan seorang lelaki yang bekerja sebagai penjaga kaunter dan 12 wanita warga Vietnam berusia 20 hingga 32 tahun dalam serbuan itu.

Menurutnya, polis turut merampas tiga resit perniagaan dan wang tunai sebanyak RM384.

“Semua yang ditahan itu kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang untuk tindakan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/1963, Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen dan Seksyen 6 (1) Enakmen Hiburan Terbuka 1997.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Oktober 2019 @ 1:48 AM