Saifuddin Nasution (lima dari kanan) bersama antara penerima sumbangan makanan pada majlis penyampaian makanan kepada penduduk PPR Desa Tun Razak. FOTO Rohanis Shukri
Ekhwan Haque Fazlul Haque
ekhwan@hmetro.com.my


PROGRAM Foodbank Malaysia akan diperluaskan khususnya kepada penuntut apabila 123 institusi pendidikan seluruh negara

bakal menerima manfaat tahun depan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, ini susulan peruntukan RM25 juta yang diperoleh kementeriannya menerusi Belanjawan 2020 yang dibentangkan di Parlimen, Jumaat lalu.

Menurutnya, inisiatif bank makanan yang mula dilaksanakan tahun lalu sudah berjaya membantu lebih 310,000 masyarakat seluruh

negara khususnya mereka yang berpendapatan rendah.

“Penerima program ini akan ditingkatkan kerana manfaat yang diterima mampu melegakan mereka yang berpendapatan rendah untuk mendapat makanan hasil inisiatif kerajaan bersama kolaborasi badan bukan kerajaan (NGO) Yayasan Food Aid Malaysia serta syarikat swasta.

“Manfaat ini akan diperluaskan tahun depan dan kerajaan mensasarkan lebih ramai penerima mendapat manfaat.

“Jadi kita akan perhebatkan program ini di 123 pusat pendidikan seperti Institut Pendidikan Guru, Politeknik dan universiti swasta,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Penyampaian Sumbangan Makanan di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Tun Razak, Kuala Lumpur hari ini.

Turut hadir Pengarah Urusan Mondelez International Malaysia dan Singapura James Kane serta Pengasas Yayasan Food Aid Malaysia, Rick Chee.

Dalam program itu, 400 penduduk PPR Desa Tun Razak menerima sumbangan makanan daripada Mondelez yang juga pemilik

produk snek Jacob’s, Chipmore Cadbury Dairy Milk dan Oreo.

Bercakap mengenai peruntukan RM25 juta untuk program bank makanan yang diumumkan dalam Belanjawan 2020, Saifuddin

berkata, ia akan digunakan untuk menambah baik fasiliti program berkenaan.

Katanya, ini termasuk membina pusat pengumpulan dan pengedaran yang sistematik bagi memudahkan bantuan diberikan dapat

disalurkan kepada golongan sasar dengan lebih berkesan.

“Kita akan bina pusat pengumpulan dan pengedaran supaya makanan dan bahan mentah yang diberikan penyumbang dapat disimpan dengan lebih baik dan tidak mudah rosak,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Oktober 2019 @ 7:55 PM