Dr Mahathir bergambar selepas Majlis Pelancaran Dasar Pengangkutan Negara hari ini. FOTO Mohd Yusni Ariffin
Yusmizal Dolah Aling
yusmizal@hmetro.com.my


KERAJAAN akan terus berusaha menambah jumlah perkhidmatan pengangkutan awam termasuk melalui projek pembinaan perkhidmatan rel dalam bandar bagi memenuhi keperluan memandangkan penggunaannya yang masih rendah.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, ia dijangka memberi kemudahan kepada rakyat yang selama ini banyak bergantung dengan kenderaan di jalan raya untuk pelbagai urusan termasuk membawa barangan ke sesuatu destinasi.

Katanya, antara yang dirancang termasuklah mewujudkan garis panduan pembinaan infrastruktur pengangkutan termasuk laluan rel untuk mengawal kesan pembinaan ke atas alam sekitar serta amalan Transit-Oriented Development atau TOD yang menggalakkan pembangunan di kawasan yang mempunyai kemudahan pengangkutan seperti terminal.

“Kita harap rakyat akan menggunakan rel dengan lebih kerap dan juga untuk membawa barangan terutama barangan besar yang kadang-kadang kita lihat lori yang bawa kereta di jalan raya, lori yang bawa minyak dan lain-lain barangan kadang-kadang berlaku kemalangan dan bila berlaku ada yang cedera, meninggal dunia dan barangan itu semua hilang begitu saja.

“Sebab itu kita lebih suka barangan berat dan besar dibawa dengan rel dan untuk ini kita perlu ada tempat tertentu di stesen untuk kita simpan barangan ini secara selamat dan menggunakan jentera untuk kendalikan barangan di tempat tertentu berhampiran stesen,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Dasar Pengangkutan Negara 2019-2030 di Kuala Lumpur hari ini.

Hadir sama Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook dan timbalannya Datuk Kamaruddin Jaafar.

Ia diperkenalkan untuk membangunkan sektor pengangkutan yang mampan, memacu ekonomi dan menyokong kesejahteraan rakyat.

Perdana Menteri berkata, bagi merealisasikan hasrat itu, kerajaan menjemput pihak swasta untuk memberi cadangan dan menyewa landasan serta kajian akan dibuat supaya sistem rel di negara ini akan diguna sepenuhnya.

“Kalau di negara luar seperti Jepun, kita tengok rel keluar masuk tidak berhenti, tetapi di negara kita kena tunggu kadang-kadang sejam sebelum tren berikutnya tiba.

“Ini bermakna kita melabur untuk membina rel, tapi kita tak guna. Sama seperti kita beli kapal terbang, tapi kita tak guna, kita simpan di darat, kita tak dapat apa-apa keuntungan.

“Kita akan dapat nasihat daripada pakar Jepun untuk programkan perjalanan rel sama ada barangan mahu pun penumpang.

“Kita harap pada masa depan sistem rel kita maju seperti Jepun, Korea dan China. Ini hasrat kita untuk mengurangkan kenderaan awam dan meningkatkan penggunaan rel terutama perjalanan jauh pada musim perayaan,” katanya.

Ditanya sama ada dasar itu akan memberi kesan kepada Keretapi Tanah Melayu Berhad, Dr Mahathir berkata, ia tidak memberi impak kerana syarikat itu mendapat bayaran sebagai pendapatan.

“Seperti kita tahu kereta api mewah YTL beroperasi dari Singapura ke Bangkok dan mereka menggunakan laluan kita dan Thailand dan mereka bayar.

“Kalau ada lebih banyak syarikat mahu gunakan rel, barangan atau penumpang, kereta api mewah, ini boleh membabitkan sektor swasta,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Oktober 2019 @ 7:03 PM