Laporan portal berita Harian Metro sebelum ini.
BERNAMA

UNIVERSITI Malaya (UM) ada hak untuk menarik balik atau menahan penganugerahan ijazah graduan yang bertindak biadap ketika istiadat konvokesyen di universiti itu Isnin lalu.

Presiden Majlis Profesor Negara (MPN) Prof Datuk Dr Raduan Che Rose berkata, senat ada kuasa untuk meluluskan penganugerahan kepada penuntutnya berdasarkan peruntukan peraturan yang ditetapkan universiti masing-masing.

Beliau berkata, tindakan graduan itu juga disifatkan tidak wajar dan mencemarkan acara rasmi universiti awam itu.

“Setiap orang ada hak masing-masing. Penuntut rasa mereka ada hak melakukan dan universiti pun ada hak mereka.

“Soal penganugerahan atau penurunan ijazah ini adalah hak senat universiti itu.

“Selagi belum sampai dianugerahkan (beri ijazah) secara mutlak, selagi itulah universiti boleh mengaturkan tindakan berdasarkan kepada apa-apa perkara yang dilakukan penuntut itu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat MPN di Kajang hari ini.

Beliau mengulas mengenai tindakan pertubuhan bukan kerajaan dikenali Penggerak Mahasiswa UM (PMUM) yang melancarkan petisyen di media sosial bagi menuntut UM menarik balik ijazah pertama graduan terbabit.

Terdahulu, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman membidas dan tidak bersetuju dengan desakan pihak tertentu supaya ijazah sarjana muda milik graduan itu ditarik balik.

Mengulas lanjut Raduan menegaskan, walaupun masyarakat Malaysia diberi hak kebebasan bersuara dan menzahirkan perasaan, namun mereka masih perlu patuh dengan undang-undang yang diperuntukkan.

“Begitu juga dalam majlis rasmi, kita tertakluk dengan protokol, hidup ini dikawal oleh adat dan peraturan yang bertulis dan tak bertulis,” katanya.

Dalam kejadian 10 pagi itu, Wong Yan Ke, 23, membawa plakad ke dalam Dewan Tunku Canselor UM bagi mendesak pemimpin universiti itu meletakkan jawatan sambil melaungkan perkataan ‘Tolak Rasis’; ‘Undur VC’; dan ‘Ini Tanah Malaysia’ selepas menerima skrol ijazahnya.

Ia dipercayai ditujukan kepada naib canselor universiti itu yang menurut graduan itu menggunakan nama UM untuk politik kaum dan kepentingan parti ketika Kongres Maruah Melayu baru baru ini.

Bagaimanapun, tindakannya itu dilihat melanggar protokol istiadat selain mengganggu prosiding konvokesyen universiti awam berkenaan.

Berita berkaitan

'Tak setuju tarik balik ijazah - Syed Saddiq'

'Kerani cakap transkrip ijazah saya kotor'

Polis siasat graduan biadab

Nak protes boleh tapi tempat lain

UM lapor polis isu graduan biadab

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Oktober 2019 @ 6:40 PM