Abdul Hamid (kiri), Shahril Sufian, A Kadir, Liew dan Khalid pada Forum Kelangsungan Media Cetak: Mengapa Dilayar Jika Boleh Dicetak? hari ini. FOTO Roslin Mat Tahir
Rafidah Mat Ruzki
am@hmetro.com.my


AKHBAR hanya akan bertahan jika ia masih lagi dibeli dan dibaca.

Penasihat Komunikasi dan Media kepada Perdana Menteri, Datuk A Kadir Jasin berkata, jika penuntut jurusan kewartawanan pun tidak membaca akhbar, bagaimana syarikat akhbar mampu bertahan.

“Jangan berpura-pura. Masa depan apa? Ini masa depan kita. Anda mahu keluar menjadi wartawan tetapi jika tiada tempat yang mengambil wartawan, bagaimana anda mahu mencari rezeki?

“Jika anda mahu akhbar bertahan dan berkembang maju, saya cabar anda hari ini, kongsi sesama sendiri beli akhbar yang anda boleh baca dan faham sama ada berbahasa Melayu atau Inggeris dan anda menjadi sumber kepada semua akhbar yang mahu menjadi lebih baik, Utusan misalnya.

“Tetapi jika anda tidak berminat, bagaimana kita mahu memastikan akhbar dapat bertahan?” katanya pada Forum Kelangsungan Media Cetak: Mengapa Dilayar Jika Boleh Dicetak? anjuran Persatuan Alumni Komunikasi Massa Universiti Teknologi MARA (UiTM) di Shah Alam hari ini.

Selain A Kadir, panel lain adalah Timbalan Menteri Pertahanan, Liew Chin Tong; Penasihat kepada Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Khalid Jaafar dan Naib Ketua Pemuda UMNO Shahril Sufian Hamdan manakala Juruperunding Pemasaran, Profesor Abdul Hamid Mohamed sebagai moderator.

Turut hadir pada program itu Pengarang Kumpulan BH, Khaidir A Majid serta Pengarang Urusan Jabatan Berita dan Hal Ehwal Semasa (NCA) Media Prima Berhad, Datuk Manja Ismail.

A Kadir berkata, semua pihak tidak perlu berpura-pura bercakap mengenai maruah, survival Bahasa Melayu, kewartawanan Melayu dan perkara lain yang hebat tetapi jika mereka tidak membaca akhbar, ia akan mati.

Wartawan veteran itu turut menyuarakan kebimbangannya dengan apa yang dikatakan sebagai penyelamatan syarikat media yang berkemungkinan tidak dapat membawa apa yang diimpikan dan penambahbaikan dalam kewartawanan bagus.

Pada masa sama, A Kadir berkata, memiliki telefon pintar tidak bermakna sesiapa saja boleh menjadi wartawan atau editor kerana mereka bukanlah seorang yang terlatih.

Katanya, fungsi telefon bimbit lebih hebat berbanding seluruh kekuatan stesen Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada 1960-an namun ia tidak boleh mengenepikan kepentingan wartawan serta editor.

Beliau berkata, jika semudah itu kursus kewartawanan di UiTM sudah boleh dibubarkan.

“Bahaya yang kita hadapi ketika ini, kepada masa depan kita, kita berdepan dengan pihak yang mengetepikan wartawan dan editor.

“Mungkin sebahagiannya kerana kesilapan mereka sebelum ini tetapi saya fikir ia boleh diperbaiki,” katanya.

A Kadir berkata, tiada apa yang boleh menewaskan akhbar apabila bercakap mengenai kandungan berkualiti.

Justeru katanya, pembaca perlu memilih sama ada mahukan kandungan berkualiti atau sebaliknya.

Beliau juga menyentuh mengenai media sosial yang kini mengalahkan media arus perdana selain menegur tindakan wartawan dan editor memetik daripada media sosial.

“Media sosial bagi saya adalah untuk anda bersosial,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Oktober 2019 @ 6:06 PM