MOHD Redzuan. FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

KERETA terbang kedua negara menggunakan teknologi berbeza daripada kereta terbang pertama akan membuat penerbangan pertamanya pada suku ketiga tahun depan, kata Menteri Pembangunan Usahawan Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof.

Beliau berkata, kereta itu sedang dibangunkan di Eropah dan perbincangan sudah dilakukan dengan pembina sama ada untuk membawa kereta itu melakukan penerbangan pertamanya pada tahun depan.

“Versi kedua menggunakan teknologi baharu dan kita telah berbincang sama ada ia boleh dilakukan, dan sekiranya ada minat di negara ini, untuk mengadakan penerbangan pertama pada suku ketiga tahun depan,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di Kuala Lumpur, hari ini.

Pada Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2019 awal tahun ini, kementerian telah mempamerkan prototaip kenderaan terbang yang dinamakan ‘Vector’.

Menurut pembina Aerodyne, “Vector” bukanlah kereta terbang yang paling dinanti-nantikan tetapi sistem pengangkutan udara dari titik ke titik.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Oktober 2019 @ 3:42 PM