SHAHROL. FOTO Zulfadhli Zulkifli
Nasharuddin Muhammad dan Murni Wan Omar
am@hmetro.com.my


SAKSI memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, bahawa berlaku pindaan dalam Memorandum dan Artikel Pertubuhan (M&A) 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang memperuntukkan keputusan perlu mendapat kelulusan Perdana Menteri.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi berkata, pindaan itu pada asalnya memperuntukkan sesetengah keputusan syarikat memerlukan kelulusan Kerajaan Persekutuan.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah ketika sesi pemeriksaan balas.

Shahrol yang juga saksi kesembilan memberi keterangan dalam kes membabitkan Najib yang menghadapi 25 tuduhan pengubahan wang haram dan salah guna kedudukan serta penyelewengan dana berjumlah RM2.28 bilion.

Muhammad Shafee merujuk M&A 1MDB kepada saksi kesembilan itu berhubung pindaan di dalam Artikel 9A kepada Artikel 117.

Artikel 117 Memorandum dan Artikel (M&A) 1MDB menyatakan keputusan membabitkan kewangan, keselamatan dan dasar negara adalah di bawah Perdana Menteri.

SHAFEE: (Merujuk kepada artikel)

SHAHROL: Kami ada merujuk kepada peguam daripada Wong & Partners. Pindaan ini adalah untuk mengubah dari Kerajaan Persekutuan kepada Perdana Menteri. Jho Low (ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho) yang maklumkan bahawa Najib mahukan ini supaya ia tidak ketara.

SHAFEE: Kamu tidak tahu sama ada ini yang dimahukan oleh Najib?

SHAHROL: Saya tidak pernah bertanya kepada Najib.

Dalam prosiding itu, Muhammad Shafee turut mengemukakan kepada mahkamah beberapa projek dan syarikat yang menggunakan peruntukan yang sama iaitu Perdana Menteri diberi kuasa untuk membuat keputusan.

Beliau mengemukakan M&A Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS), Lembaga Pembangunan Wilayah Iskandar (IRDA), Akta Bank Simpanan Nasional (BSN) 1974 dan Akta Bank Pertanian Malaysia 2008 yang memberi kuasa kepada menteri.

Sementara itu, saksi kesembilan itu mengakui bahawa tiada perbincangan dibuat selepas pindaan dibuat kepada M&A 1MDB.

SHAFEE: Setuju dengan saya bahawa tiada perbincangan dibuat berhubung Artikel 117 ini selepas ia dipinda? Tiada perbincangan dibuat berhubung bagaimana ia akan memberi kesan kepada Lembaga Pengarah?

SHAHROL: Ya.

SHAFEE: Adakah kamu tahu kenapa tiada perbincangan dibuat mengenainya?

SHAHROL: Saya tidak ingat dengan tepat sebabnya, tetapi mungkin Lembaga Pengarah menganggap ia sebagai arahan biasa daripada Najib.

Shahrol mengakui bahawa wujud masalah dalam mendapatkan kelulusan bagi maklumat sulit 1MDB apabila Najib memegang tiga kuasa iaitu sebagai Perdana Menteri, Menteri Kewangan dan Pengerusi Ahli Lembaga Penasihat 1MDB.

Beliau sebelum itu dirujuk Muhammad Shafee berhubung suratnya kepada Najib pada Disember 2009 untuk mengesahkan kelulusan yang diberikan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan berhubung 1MDB.

“Keputusan dibuat oleh pengurusan, diluluskan oleh Ahli Lembaga Pengarah dan disahkan oleh Pengerusi Ahli Lembaga Penasihat. Ada juga perkara yang memerlukan kelulusan berbeza daripada tiga jawatan Najib itu.

“Yang menjadi masalah adalah seorang lelaki (Najib) memegang ketiga-tiga jawatan itu. Beliau sudah sahkan sebagai Pengerusi Ahli Lembaga Penasihat. Surat ini merujuk kepada kuasanya sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Oktober 2019 @ 3:34 PM