BOMBA membantu menenangkan warga emas itu. FOTO Ihsan Bomba
Mohd Sabran Md Sani
sab@hmetro.com.my


“ALHAMDULILLAH pujukan orang awam dan anggota ’mencairkan’ niat lelaki terbabit,” kata Pegawai Bomba Kanan II, dari Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Gudang, Yusri Atan di Pasir Gudang, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas lanjut berhubung usaha dilakukan pasukannya

dalam memujuk seorang warga emas berusia 63 tahun dipercayai cuba terjun di Jambatan Sungai Kim Kim, petang semalam.

Dalam kejadian itu, seramai lapan anggota bersama dua jentera ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan pada 4.18 petang.

Beliau berkata, tempoh 15 minit digunakan untuk menenangkan warga emas itu yang dilihat berada di jambatan Sungai Kim Kim.

“Disebabkan keadaan kesihatan yang kurang baik akibat penyakit pundi kencing, warga emas itu tidak mampu melangkah pada bahagian penghadang jambatan.

“Ketika itu jugalah anggota cuba merapati dan memberikan kata-kata nasihat supaya tidak melakukan perbuatan seperti itu,” katanya.

Katanya, lelaki yang mendakwa mempunyai masalah keluarga kemudian dihantar pulang ke rumah anaknya kira-kira lapan kilometer dari lokasi kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Oktober 2019 @ 3:21 PM