RAZALI (kiri) bersama Muhammad Zakwan (tengah) melihat tanaman nangka madu yang musnah di TKPM Muadzam Shah. FOTO MOHD RAFI MAMAT
Mohd Rafi Mamat
am@hmetro.com.my


SERAMAI 15 pekebun projek nangka madu di Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Muadzam Shah, Rompin, kerugian kira-kira RM3.5 juta selepas 2,500 pokok mereka dimusnahkan kawanan 10 gajah, malam kelmarin.

Pekebun Muhammad Zakwan Zulkeply, 28, berkata ancaman gajah sepanjang tahun ini begitu serius apabila sudah 10 kali menyerang kebun hingga menyebabkan kerugian besar pada peserta projek yang bergantung sepenuhnya kepada hasil pertanian itu.

Katanya, serangan gajah malam kelmarin adalah yang terburuk berlaku tahun ini, bukan sahaja tidak dapat memungut hasil tetapi lebih menyedihkan banyak pokok musnah dan rosak.

Menurutnya, serangan haiwan itu kali ini menyebabkannya kerugian kira-kira RM1.2 juta apabila 400 pokok berusia enam tahun musnah dalam tempoh satu malam sahaja.

“Ancaman gajah di TKPM Muadzam Shah seluas 173 hektar membabitkan 31 lot berlarutan sejak empat tahun lalu, pelbagai usaha menghalang serangan haiwan itu namun dilihat kurang berkesan.

“Terdapat parit dibina bagi menghalang kemasukan gajah ke TKPM, namun ia sudah lama tidak diselenggara hingga membolehkan haiwan itu masuk dengan mudah,” katanya.

Beliau menambah, pihak berkaitan seperti Jabatan Pertanian Pahang sebagai peneraju projek perlu segera membantu pekebun terutama dengan menggali semula parit yang bersempadan dengan Hutan Simpan Ibam yang menjadi habitat semula jadi gajah.

Muhammad Zakwan berkata, dia bagi pihak pekebun juga berharap Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Pahang dapat segera bertindak dengan cara menghalau atau menangkap haiwan liar berkenaan.

“Saya bagi pihak 15 peserta projek yang mengalami kerugian berikutan serangan gajah merayu pihak berkuasa memberi perhatian serius terhadap kes ini,” katanya kepada Harian Metro.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Muadzam Shah, Razali Kassim.

Sementara itu, Pengarah PERHILITAN, Rozidan Md Yasin berkata, pihaknya sudah melakukan siasatan selepas mendapat aduan daripada pekebun berkaitan kejadian itu.

“Di Hutan Simpan Ibam terdapat antara 20 hingga 30 gajah dan haiwan berkenaan akan menceroboh TKPM Muadzam Shah untuk mencari makan.

“Saya sudah mengarahkan kakitangan PERHILITAN di Muadzam Shah supaya membuat rondaan pada waktu malam bagi memastikan haiwan ini tidak menceroboh kebun nangka peserta.

“Saya juga menyarankan kepada pekebun supaya dapat turut sama melakukan rondaan selain memasang lampu di kebun mereka bertujuan menakutkan gajah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Oktober 2019 @ 2:34 PM