JUARA pertandingan mendeklamasi sajak Bahasa Mandarin, Nayli Nur Aisyah Muhamad Adam, 12, dan Hamzah Hassan, 10, menunjukkan piala yang diperoleh mereka kepada guru yang melatih, Tai Bee Yin (kanan) dalam Majlis Tadarus Al Quran bagi Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (MTQSJKC), Sekolah-Sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) peringkat Negeri Kelantan 2019 yang diadakan di Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Rantau Panjang 2. FOTO Syaherah Mustafa
Syaherah Mustafa
cnews@nstp.com.my


FASIH berbahasa Mandarin dengan baik melayakkan dua murid Melayu diangkat sebagai juara, dalam pertandingan mendeklamasi sajak bahasa Mandarin di Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Rantau Panjang 2, di Rantau Panjang, hari ini.

Pertandingan itu adalah satu daripada kategori yang dipertandingkan dalam Majlis Tadarus al-Quran bagi Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (MTQSJKC), Sekolah-Sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) peringkat Negeri Kelantan 2019.

Nayli Nur Aisyah Muhamad Adam, 12, dan Hamzah Hassan, 10, dari SJKC Peir Chih dinobatkan sebagai juara bagi kategori perempuan dan lelaki.

Nayli Nur Aisyah berkata, dia mahir bertutur dan menulis dalam bahasa Mandarin sejak berumur enam tahun dan mengambil masa sebulan untuk berlatih menyampaikan sajak berkisahkan tentang hutan dan alam flora.

“Biarpun saya berbangsa Melayu, saya selesa menggunakan bahasa Mandarin, malah ada ketika berkomunikasi dengan adik beradik di rumah juga menggunakan bahasa Mandarin kerana semua bersekolah jenis kebangsaan Cina.

“Menjelang beberapa hari sebelum pertandingan, saya menghabiskan masa selama dua jam untuk berlatih di rumah selain mendapat tunjuk ajar guru, Tai Bee Yin, bagi melancarkan lagi persembahan.

“Biasanya saya berlatih di depan cermin supaya lebih yakin untuk berhadapan dengan penonton yang ramai,” katanya yang pernah memenangi pertandingan sama dua tahun lalu.

MTQSJK adalah tahun ketiga diadakan yang disertai 15 buah SJKC seluruh Kelantan yang turut membabitkan guru berbangsa Cina sebagai juri dan jurulatih.

Sementara itu, Hamzah Hassan, 10, meluahkan rasa syukur dapat menjadi juara dalam pertandingan itu dan usahanya berlatih selama ini akhirnya membuahkan hasil.

Anak keempat daripada enam adik-beradik itu berkata, dia mula belajar berbahasa Mandarin sejak daripada tadika dan ia menjadi subjek kegemarannya selain bahasa Inggeris.

“Di dalam kelas, ramai kawan-kawan saya yang berbangsa Cina, menyebabkan saya lebih banyak berbahasa Mandarin bila di sekolah. Keadaan ini secara tidak langsung membantu saya untuk mahir menulis dan bertutur dalam Mandarin.

“Saya gembira dapat menguasai banyak bahasa memandangkan kita hidup dalam pelbagai kaum, malah ia membuat saya lebih rapat dengan bangsa lain.

“Kemenangan hari ini mendorong saya untuk lebih bersungguh-sungguh mempelajari bahasa lain yang memberi banyak faedah untuk saya di masa hadapan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Oktober 2019 @ 4:44 PM