FOTO hiasan
Nur Lela Zulkipli
Nurlela@hmetro.com.my


POLIS Selangor bersedia memberi bantuan siasatan berhubung kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin berkata, buat masa ini tiada sebarang laporan polis dibuat berhubung kewujudan kumpulan pengganas itu di negeri ini.

“Buat masa ini tiada laporan. Namun, saya tidak boleh beri jaminan tiada langsung.

“Mungkin ada, mungkin juga tiada. Perkara ini terletak di bawah bidang kuasa Bahagian Anti Pengganas (E8) Cawangan Khas Bukit Aman.

“Namun, kita akan bantu dari segi siasatan sekiranya diperlukan...kita bersedia,” katanya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, Shah Alam.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sekiranya terdapat laporan berhubung kegiatan LTTE di negeri ini.

Harian Metro sebelum ini melaporkan tujuh individu termasuk dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Negeri Sembilan dan Melaka ditahan kerana disyaki terbabit dengan perjuangan kumpulan pengganas LTTE.

Mereka itu ditahan di Kuala Lumpur, Selangor, Melaka, Negeri Sembilan, Perak dan Kedah dalam operasi khas bermula 9 pagi hingga 2 petang pada 10 Oktober lalu.

Susulan itu, lima lagi individu termasuk guru, ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri dan ketua pegawai eksekutif (CEO) perbadanan anak syarikat kerajaan negeri ditahan dalam operasi susulan, Sabtu lalu.

Ini menjadikan jumlah mereka ditahan setakat ini seramai 12 orang kerana disyaki mempromosi, menyokong, menghasut, menggalak, mencari dana dan memiliki barangan berkaitan LTTE.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Oktober 2019 @ 4:25 PM