PERKESO. FOTO Muhd Zaaba Zakeria
Idris Musa
idris@hmetro.com.my

SEDAR nasib pekerja Utusan Melayu (M) Bhd dalam kesukaran, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bersedia membantu bekas kakitangan syarikat akhbar itu.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar berkata, antara tindakan awal yang sudah dibuat pihaknya ialah memberikan taklimat kepada pekerja terbabit mengenai hak mereka.

Beliau berkata, PERKESO juga membuat kerjasama dengan Persatuan Pengusaha Percetakan Melayu Malaysia untuk mendapatkan kekosongan jawatan daripada majikan agar dapat ditempatkan semula mereka yang ada pengalaman dalam bidang percetakan.

“Dianggarkan 800 pekerja diberhentikan. Bagaimanapun ‘lost of employment’ (kehilangan pekerjaan) hanya akan berlaku pada 1 November ini.

“Selepas itu, mereka boleh membuat permohonan untuk mendapatkan (bantuan) daripada PERKESO melalui skim SIP (Sistem Insurans Pekerja),” katanya pada sidang Dewan Rakyat di Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid (PH-Kapar) yang menyuarakan kerisauan terhadap pekerja dihentikan seperti yang berlaku kepada pekerja Utusan Melayu.

Terdahulu, ketika menjawab soalan asal Abdullah Sani berkaitan SIP, Mahfuz berkata, bilangan yang layak menerima faedah penuh SIP dari 1 Januari hingga 31 Ogos tahun ini adalah seramai 19,102 orang, membabitkan jumlah bayaran sebanyak RM59.84 juta.

Katanya, jumlah caruman terkumpul bagi tempoh itu adalah sebanyak RM426.32 juta dan sehingga kini 400,413 majikan mendaftar dengan Perkeso di bawah SIP yang membabitkan 6.5 juta pekerja.

Mahfuz turut memberi respons kepada soalan tambahan Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) yang bertanya sama kementerian memandang serius kebajikan pekerja Utusan Melayu.

“Setakat ini yang mendapat manfaat daripada skim ini daripada Utusan iaitu pemberhentian sebelum ini, seramai 483 orang sudah pun mendapat faedah daripada skim ini. Maknanya kita luluskan, walaupun permohonannya 522 orang.

“Begitu juga dengan Karangkraf. Maknanya industri media ini ada masalah besar, bukan saja di Malaysia tetapi di seluruh dunia.

“Permohonan daripada Karangkraf sebanyak 39 orang dan telah diluluskan 26 orang,” katanya yang turut menegaskan tidak boleh mencampuri urusan bisnes majikan baharu syarikat terbabit.

“Itu hak mereka. Saya tidak boleh mengambil tanggungjawab, (misalnya) kamu kena ambil 800 orang dan sebagainya, itu hak majikan,” kata Mahfuz lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Oktober 2019 @ 3:28 PM