KHAIRY Jamaluddin. FOTO Arkib NSTP
Yusmizal Dolah Aling
yusmizal@hmetro.com.my


AHLI Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin dinamakan sebagai pemimpin pembangkang paling popular dan boleh dipercayai di negara ini.

Berdasarkan kajian agensi, Citrine One Sdn Bhd, bekas Ketua Pemuda UMNO itu mengatasi Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Razak dan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, dalam kajian membabitkan 1,115 responden.

Penasihat Utama Komunikasi Krisisnya, Ivlynn Yap berkata, populariti dan kebolehpercayaan terhadap seseorang pemimpin memberikan isyarat bahawa zaman parti yang popular boleh mempengaruhi pengundi sudah berlalu.

Katanya, kajian itu dijalankan pada 13 September hingga 3 Oktober lalu membabitkan responden dari pelbagai latar belakang seperti pelajar serta profesional lain termasuk individu korporat.

“Ia juga menunjukkan bagaimana pemimpin yang sering menyuarakan isu rakyat dan mempunyai pemikiran yang jelas ketika berkomunikasi lebih disukai berbanding yang lain.

“Selain Najib dan Hadi, pemimpin lain yang turut dinamakan dalam kajian ini ialah Datuk Seri Mohamad Hassan di tempat keempat, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong (5), Datuk Seri Nazri Aziz (6), Datuk Seri Abang Johari Tun Openg (7) dan Datuk Dr Dominic Lau di tempat kelapan,” katanya pada sidang media di Kuala Lumpur, hari ini.

Tinjauan pendapat itu juga menunjukkan 52 peratus responden menyifatkan pemimpin pembangkang banyak bersuara demi kepentingan parti sendiri, manakala 29 peratus lain berpendapat ia membabitkan kepentingan diri sendiri dan selebihnya adalah untuk kebaikan rakyat.

Sejumlah 33 peratus responden juga berpendapat kemampuan pemimpin untuk berhujah mengenai masalah rakyat adalah faktor mereka dipilih, manakala 17 peratus lagi memilih faktor pemikiran yang jelas sebagai sebab dan selebihnya atas faktor konsisten, meyakinkan, kredibiliti, kebolehpercayaan dan kejujuran.

“Hasil kajian turut mendapati pemimpin pembangkang menggunakan isu keagamaan dalam komunikasi manakala antara isu lain termasuklah komunikasi tidak tepat dan tidak konsisten.

“Dapatan lain yang tidak kurang menarik ialah responden turut merasakan pembangkang lebih banyak menyuarakan isu sendiri,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Oktober 2019 @ 2:58 PM