PUTRAJAYA 03 OKTOBER 2019. Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa sidang media selepas majlis Pelancaran Dasar Keselamatan & Ketenteraman Awam (DKKA) dan turut bersama Ketua Setiausaha KDN, Tan Sri Alwi Ibrahim di Auditorium Kompleks D, Kementerian Dalam Negeri, Putrajaya. NSTP/AHMAD IRHAM MOHD NOOR.
Siti A’isyah Sukaimi
sitiaisyah@hmetro.com.my


AKTA Kesalahan Keselamatan (Langkah Khas) 2012 (SOSMA) masih diperlukan dalam mengekang keganasan, kata Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Bagaimanapun, beliau berkata, kerajaan meneliti perkara terkandung di dalam SOSMA yang boleh diperbaiki atau sesetengahnya yang dikatakan tidak selari hak asasi manusia.

“SOSMA masih diperlukan dan kalau kita lihat keadaan perkembangan di peringkat negara dan antarabangsa, isu pengganas, memang wajar dan perlu.

“Jika tiada undang-undang sebegitu, mereka akan terlepas daripada cengkaman undang-undang dan ini menimbulkan bahaya kepada negara.

“Undang-undang sedia ada tidak memadai, cara mereka bertindak luar batas undang-undang boleh timbul masalah negara,” katanya pada sidang media Majlis Sambutan Hari Pendaftaran Negara (HPN) 2019 di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di Putrajaya, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya susulan kenyataan Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu semalam yang dipetik berkata, SOSMA tidak perlu dimansuhkan sebaliknya memadai dipinda beberapa penambahbaikan.

Pada masa sama, Muhyiddin berkata, di dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) juga tidak dinyatakan berhubung SOSMA dihapuskan.

“Boleh semak yang kita janjikan adalah meneliti mana-mana bab dalam SOSMA yang boleh diperbaiki. Ada sesetengah katakan tidak selaras hak asasi manusia, zalim dan sebagainya.

“Sejak tahun ini, kita sudah mulakan berbincang bersama pihak berkepentingan, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) dan banyak lagi untuk mendapat input dan maklum balas,” katanya.

Beliau berkata, perkara itu juga sudah dibawa ke peringkat pertama Kabinet dan berpendapat, ada lagi yang perlu diperhalusi.

“Sebab itu kita teruskan proses libat urus dengan pelbagai badan pertubuhan supaya akhirnya kita bawa ke Kabinet dan Parlimen, banyak pihak akan puas hati.

“Ada beberapa fasal kita perlu teliti, soal mendapat akses khidmat guaman, tempoh reman 28 hari ada yang kata agak panjang.

“Mungkin tak sempat (bawa ke sesi Parlimen tahun ini), kita akan bawa pada penggal awal tahun 2020,” katanya.

Berhubung kegiatan beberapa pihak dengan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE), beliau berkata, polis mengambil tindakan berdasarkan sumber yang kukuh dikumpulkan Cawangan Khas.

“Kita pendapat sudah cukup banyak bukti, jadi disahkan Pendakwa Raya iaitu asas kukuh tindakan undang-undang mereka sabit kes LTTE,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Oktober 2019 @ 1:22 PM