GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Muhamaad Razis Ismail
razis@hmetro.com.my


KERAJAAN Kelantan mengumumkan pemberian bonus RM500 kepada penjawat awam negeri berkenaan.

Perkara itu diumumkan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob ketika membuat penggulungan Belanjawan 2020 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, di Kota Bharu, hari ini.

“Kerajaan bersetuju memberi insentif RM500 kepada penjawat awam,” katanya.

Difahamkan, bayaran insentif itu akan mula dibayar pada awal tahun depan.

Terdahulu, Ahmad (PAS-Pasir Pekan) ketika sesi penggulungan berterima kasih kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kok Lanas, Datuk Md Alwi Che Ahmad yang mengisytiharkan tiada ketua pembangkang dalam dewan berkenaan.

“Rasa lega dan saya berdoa kepada Allah supaya menjadikan dewan ini adalah dewan terbaik untuk kita sama-sama berbincang bagaimana cara untuk mengatasi masalah rakyat.

“Bagaimanapun, yang tersiratnya ia masih pembangkang mesra kerajaan, kita memerlukan teguran daripada sahabat kita apabila berlaku kekurangan dan kita terima secara berlapang dada dan senang hati untuk dibincangkan secara membina,” katanya.

Semalam, Md Alwi mengumumkan peletakan jawatan sebagai Ketua Pembangkang DUN Kelantan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Oktober 2019 @ 12:51 PM