Mohd Husni Mohd Noor
mhusni@hmetro.com.my


“BOLEH protes tapi tolong buat di tempat lain bukannya pada program rasmi,” kata Tun Dr Mahathir Mohamad mengulas tindakan biadab seorang graduan Universiti Malaysia (UM) pada Sidang Kelima Istiadat Konvokesyen UM kali ke-59, 14 Oktober lalu.

Perdana Menteri berkata, graduan berkenaan boleh menunjukkan protes dan pandangannya di tempat lain kerana setiap universiti ada prosedur dan peraturan tertentu.

“Kita perlu ikut peraturan jika tidak ia akan menimbulkan masalah,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan ucaptama di Forum Kemiskinan sempena sambutan Hari Pembasmian Kemiskinan Antarabangsa 2019 anjuran Yayasan Kesejahteraan, hari ini.

Katanya, kerajaan tidak campur tangan terhadap tindakan di ambil UM membabitkan graduan yang menunjukkan tanda protes itu.

Dr Mahathir berkata, pihak universiti berkenaan berhak mengambil tindakan yang dirasakan sesuai terhadap graduan berkenaan.

Semalam, UM membuat laporan polis terhadap graduan berkenaan.

Pada 14 Oktober lalu, seorang graduan kejuruteraan awam bertindak mengeluar dan menayangkan plakad tertera perkataan, ‘Tolak Rasis’ dan ‘Undur VC’ sebaik menerima skrol ijazahnya ketika berada di atas pentas pada sidang konvokesyen itu.

Graduan terbabit melaungkan perkataan itu sambil menjerit ‘ini tanah Malaysia’.

Berita berkaitan

UM lapor polis isu graduan biadab

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Oktober 2019 @ 12:40 PM