FOTO Hiasan
Mahaizura Abd Malik
mahaizura@hmetro.com.my


TINDAKAN menghalang graduan menyertai Sidang Ketujuh Istiadat Konvokesyen Universiti Malaya ke -59 pagi semalam, demi memastikan kelancaran majlis serta menghalang segala bentuk provokasi dan gangguan yang menggugat ketenteraman awam.

Universiti Malaya (UM) dalam satu kenyataan memberitahu, mereka memperketatkan kawalan keselamatan susulan insiden seorang graduan menunjukkan protes terhadap Naib Canselor UM Dr Abdul Rahim Hashim, sejurus menerima skrolnya di atas pentas dalam istiadat konvokesyen, kelmarin.

“Sehubungan itu, anggota polis bantuan universiti melakukan pemeriksaan keselamatan terhadap seorang graduan dari Fakulti Perniagaan dan Perakaunan yang dijadualkan menerima ijazahnya pada istiadat berkenaan kerana disyaki berkemungkinan mengganggu kelancaran dan keharmonian istiadat.

“Berdasarkan siasatan awal yang dijalankan, graduan ini didapati menggunakan akaun Facebook miliknya dalam menghasut graduan UM lain untuk turut serta dalam usaha mendesak Naib Canselor untuk meletakkan jawatan,” katanya.

Pemeriksaan lanjut ke atas graduan itu menemukan pihak UM kepada sekeping plakad yang mengandungi perkataan bersifat provokatif.

“Anggota polis bantuan UM meminta graduan terbabit menyerahkan plakad itu kepada mereka.

“Penemuan berkenaan memperlihatkan bahawa graduan itu mempunyai niat untuk mengganggu perjalanan istiadat konvokesyen yang bakal berlangsung,” katanya.

Seterusnya kata kenyataan itu, graduan terbabit dibawa keluar dari Dewan Tunku Canselor dan tidak dibenarkan menyertai sidang ketujuh istiadat konvokesyen itu.

“Langkah ini bagi memastikan kelancaran dan ketenteraman istiadat yang dihadiri kira-kira 1,500 tetamu termasuk ibu bapa, ahli akademik dan graduan lain.

“Apa yang kami bimbangkan adalah usaha berbentuk hasutan dengan memainkan agenda perkauman ini bukan hanya berkemungkinan mengancam keselamatan Naib Canselor, tetapi lebih dari itu iaitu menggugat ketenteraman dan kerukunan awam terutama di UM,” katanya.

Kenyataan itu menegaskan, UM sentiasa mendukung prinsip kebebasan bersuara, namun ia perlu dilengkapi dengan tanggungjawab.

“Sebagai institusi pengajian tinggi yang memegang amanah besar mendidik generasi masa depan, kami juga percaya kebebasan itu perlu dilengkapi dengan tanggungjawab.

“Justeru, apa jua tindakan berlandaskan prinsip itu perlu dilakukan pada tempat dan dengan cara yang sesuai,” katanya.

Semalam, seorang graduan UM mendakwa kebebasan bersuaranya disekat berikutan dihalang memasuki Dewan Tunku Canselor sebelum sesi ketujuh istiadat konvokesyen itu bermula apabila polis bantuan UM menemui plakad berbentuk provokasi dalam simpanannya.

Berita berkaitan

UM lapor polis isu graduan biadab

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Oktober 2019 @ 12:21 PM