FOTO Hiasan
Dziyaul Afnan Abdul Rahman
am@hmetro.com.my


KIRA-KIRA 200 nelayan pesisir pantai di Kurong Tengar, Sungai Bahru dan sekitar Kuala Perlis bimbang turun ke laut berikutan tidak memiliki lesen menangkap ikan meskipun mereka sudah membuat permohonan lesen kepada pihak berwajib sejak beberapa tahun lalu.

Apa yang menggusarkan mereka, setiap hari mereka perlu mengambil risiko ditangkap pihak berkuasa apabila turun ke laut kerana perlu menyara keluarga terutama anak-anak kecil yang masih bersekolah.

Wakil nelayan terbabit, Alias Harun, 57, mendakwa, banyak bot yang berlabuh di jeti kecil sekitar muara di Kuala Perlis tidak mempunyai lesen kerana pihak yang berwajib tidak memberikan sebarang maklum balas berhubung status permohonan yang dibuat.

“Malah saya yang pernah memohon (lesen menangkap ikan) beberapa tahun dahulu dan sehingga kini masih tidak menerima sebarang jawapan sehinggakan saya merancang untuk pergi ke Jabatan Perikanan Negeri dalam masa yang terdekat.

“Kami pun hairan kenapa perkara sebegini boleh berlaku dan seandainya permohonan kami gagal atau tidak diluluskan, sekurang-kurangnya maklumkan kepada kami supaya kami tahu keadaan yang sebenar,” katanya ketika ditemui di Kuala Perlis.

Bagi pesara tentera, Ramlan Yusof, 47, dia ketakutan untuk turun ke laut kerana bimbang sekiranya Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menangkapnya ketika sedang mencari rezeki buat keluarga berikutan masih tidak mempunyai lesen menangkap ikan meskipun sudah membuat permohonan pada 2017.

“Mahu tak mahu, kena keluar juga ke laut kerana saya masih mempunyai sepasang anak yang berusia 13 dan sembilan tahun serta masih bersekolah.

“Jika tidak ke laut, memang kami sekeluarga terpaksa bersusah sedikit untuk menempuh hari yang mendatang memandangkan mata pencarian utama saya adalah menangkap ikan selepas berpencen askar,” katanya yang sudah berpencen selepas berkhidmat dengan tentera selama 25 tahun.

Kumpulan nelayan terbabit berharap agar agensi dan pihak berkaitan dapat tampil dan menjelaskan situasi sebenar mengenai status permohonan mereka kerana sudah tidak sanggup turun ke laut tanpa lesen.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Perlis, Nor Azam Karap berkata, pihaknya sedia maklum akan masalah yang melanda kumpulan nelayan terbabit.

“Saya diberitahu bahawa lesen nelayan pada ketika ini dibekukan kerana jumlah ikan dalam lautan kita berkurangan, jadi pembekuan itu adalah untuk menjaga populasi ikan di lautan.

“Ini berdasarkan apa yang saya dimaklumkan oleh menteri serta timbalan menteri yang berkaitan dan maklumat yang sama turut disampaikan oleh pihak Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia,” katanya.

Beliau meminta kerjasama kumpulan nelayan terbabit agar bersabar sehingga mereka dimaklumkan kelak mengenai status terkini permohonan lesen dan pada masa yang sama untuk tidak melanggar peraturan yang ditetapkan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Oktober 2019 @ 11:55 AM