WANITA Indonesia berusia 52 tahun antara 32 PATI yang ditahan dalam Ops Sapu Jabatan Imigresen di sekitar Besut dan Setiu. FOTO Zaid Salim
Zaid Salim
am@hmetro.com.my


SANGKAKAN suami yang bekerja berdekatan rumah pulang untuk makan tengah hari, sebaliknya kediaman diserbu pihak berkuasa.

Itu situasi yang dihadapi wanita Indonesia apabila rumah kongsi di tapak projek pembinaan rumah teres di Kampung Bukit Keluang, di Besut, 12.30 tengah hari, semalam.

Wanita terbabit dipercayai berada di negeri ini untuk bersama suami yang bekerja sebagai buruh binaan.

Ketika serbuan, wanita terbabit didapati berada seorang diri dalam kongsi berkenaan sedang menghidang makanan tengahari untuk suaminya yang bekerja di tapak projek berkenaan.

Bagaimanapun, hasil pemeriksaan mendapati wanita terbabit tinggal secara haram di negara ini.

Malah, suami kepada wanita terbabit turut ditangkap apabila pegawai dan anggota JIM turut melakukan pemeriksaan di tapak pembinaan berkenaan.

Wanita Indonesia berusia 57 tahun bersama suaminya antara 32 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang ditahan dalam pemeriksaan Ops Sapu dan Jaja Jabatan Imigresen (JIM) di tiga daerah membabitkan Besut, Merang dan Kuala Nerus, bermula 9 pagi hingga 6 petang, semalam.

Pengarah JIM Terengganu, Rahim Hanafi berkata, serbuan dilakukan menerusi Op Bersepadu Jabatan yang dilaksanakan di tujuh lokasi sasaran membabitkan tapak pembinaan kediaman dan bangunan sekolah, bengkel pembuatan bot, dan jeti pelancong di Merang, Setiu.

Katanya, menerusi operasi terbabit seramai 16 anggota dan pegawai dikerahkan bagi melakukan pemeriksaan.

“Menerusi operasi itu, seramai 196 warga asing diperiksa dan hasil pemeriksaan seramai 32 PATI ditahan kerana melanggar akta dan peraturan Imigresen.

“PATI yang ditahan membabitkan 14 lelaki Myanmar, sembilan warga Indonesia termasuk seorang wanita, lapan warga Bangladesh dan seorang warga Kemboja.

“Tiga majikan turut ditahan dan dibebaskan selepas diambil keterangan,” katanya.

Mengulas mengenai wanita Indonesia itu, Rahim berkata, individu terbabit turut ditahan kerana tidak memiliki dokumen perjalanan sah.

“Suami wanita terbabit berusia lewat 60-an turut ditahan kerana melanggar syarat permit,” katanya.

Rahim berkata, kesemua PATI yang ditangkap itu dibawa ke Depot Tahanan Imigresen Ajil, Kuala Berang untuk siasatan lanjut.

“Seramai 17 PATI disiasat mengikut mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana melakukan kesalahan tidak memiliki dokumen perjalanan sah dan 15 individu lagi disiasat mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana langgar syarat permit,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Oktober 2019 @ 9:42 AM