TETAMU tertarik melihat replika Tam yang dipamerkan di Muzium Sabah. Gambar bulat, Tam ketika hidup.
Oleh Mohd Izham Unnip Abdullah
thaddius@bh.com.my


Badak sumbu Sumatera jantan terakhir Malaysia yang mati akibat pelbagai komplikasi dalaman pada Mei lalu dijadikan replika dan mula dipamerkan di Muzium Sabah sempena Pameran Khas Dirgahayu Tuan Yang Terutama dan Tam: Badak Jantan Terakhir, di sini, semalam.

Bangkai badak dikenali sebagai Tam itu dibina semula menyerupai saiz sebenar mamalia berkenaan sebelum diletakkan dalam ruang kaca tertutup di satu sudut khas di Muzium Sabah bagi membolehkan orang ramai melihat secara dekat hidupan liar itu.

Selain replika, sudut khas badak sumbu Sumatera itu turut dilengkapi maklumat bergambar dan video mengenai semua badak yang pernah ditemui di hutan negeri ini termasuk Iman, badak betina terakhir yang menjadi satu-satunya spesies badak sumbu Sumatera yang masih hidup di negara ini.

Pelancaran pameran khas itu disempurnakan yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin sempena sambutan Hari Jadi Rasmi Ke-66 beliau pada tahun ini.

Turut hadir ialah isteri Juhar, Toh Puan Norlidah RM Jasni; Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Christina Liew dan Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Jaujan Sambakong.

Liew menjelaskan Jabatan Muzium Sabah mengambil inisiatif mengawet bangkai Tam untuk diabadikan sebagai koleksi dan dipamerkan sempena sambutan Hari Jadi Rasmi Yang di-Pertua Negeri Sabah.

“Jabatan Hidupan Liar Sabah (JHLS) dan Universiti Malaysia Sabah (UMS) pula menyediakan kisah hidup Tam dalam pelbagai media termasuk realiti maya (VR) dan Realiti Tertambah (AR) untuk tatapan orang ramai.

“Pameran ini bertujuan memberi kesedaran kepada orang ramai betapa pentingnya kita memelihara khazanah warisan semula jadi dan hidupan yang ada demi menjaga keseimbangan ekosistem dan kelangsungan spesies flora dan fauna di negara kita,” katanya.

Tam diselamatkan JHLS di kawasan ladang kelapa sawit Unicon berhampiran Hutan Simpan Kertam, Lahad Datu pada 15 Ogos 2008 dan ditempatkan di Hutan Simpan Hidupan Liar Tabin, Lahad Datu sebelum mati pada 27 Mei lalu pada usia 35 tahun.

Mengenai usaha membiakkan benih Iman menggunakan kaedah persenyawaan in-vitro (IVF), Liew memaklumkan proses mengambil telur badak betina itu akan dilakukan semula selepas proses mensenyawakan telurnya dengan sperma Tam sebelum ini gagal.

Menjawab soalan media selepas majlis berkenaan, Liew berkata proses IVF akan dilakukan semula dengan menggunakan sperma daripada badak muda menerusi kerjasama dengan Indonesia selepas perjanjian persefahaman (MoU) mengenainya dimeterai.

Sebelum ini pakar dari Jerman berjaya mengeluarkan telur Iman untuk disenyawakan dengan sperma Tam yang diambil dan disimpan sebelum badak jantan itu mati pada Mei lalu namun gagal kerana sperma berkenaan kurang berkualiti.

Jika proses itu berjaya, embrio yang terhasil akan dimasukkan ke dalam rahim badak betina di Indonesia sebagai ibu tumpang.

Christina sebelum ini mengetuai rombongan ke Indonesia untuk menjalin kerjasama menyelamatkan badak sumbu Sumatera kerana negara itu masih memiliki sejumlah badak yang berpotensi untuk pembiakan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Oktober 2019 @ 7:10 AM