ANGGOTA bomba memadamkan kebakaran yang menyebabkan beberapa rumah hangus di Kampung Bukit Cina. Gambar kecil, Midah yang menghidap angin ahmar dibantu anggota polis.
Oleh Nur Saliawati Salberi
nursaliawati@hmetro.com.my

“Biasanya waktu begini kami sudah tidur tetapi mujur ketika itu saya ke tandas dan terdengar bunyi dari atas bumbung sebelum ternampak api,” kata Salma Ismail, 54, mangsa kebakaran di Jalan Puteri Hang Li Po, Bukit Cina, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 9.45 malam itu, empat rumah hangus manakala dua lagi terbakar di bahagian dapur.

Menurutnya, ketika kejadian dia berada di rumah bersama dua iparnya, Midah Mokhtar, 54, yang lumpuh akibat angin ahmar dan Sarah, 61.

Dia yang juga mengalami masalah kesihatan akibat penyakit buah pinggang berkata, melihat api marak melalui tingkap rumahnya, dia bergegas menyelamatkan Midah, dan meminta Sarah keluar menyelamatkan diri.

“Mujur ketika itu seorang anggota polis datang membantu menyelamatkan Midah dan meminta saya untuk keluar.

“Nasib baik juga saya tidak ke rumah adik di Tampin, kalau tidak saya tidak tahu apa yang terjadi,” katanya.

Seorang lagi mangsa, Shyan Her, 59, berkata, ketika kejadian, dia bersama isteri Eng Kit, 55, dan dua anak masing-masing berusia 22 dan 17 tahun berada di dalam bilik sebelum menyedari bekalan elektrik terputus.

“Hairan elektrik terputus secara tiba-tiba menyebabkan saya menjenguk ke luar dan terkejut apabila melihat rumah kosong di sebelah sudah terbakar.

“Saya menjerit sekuat hati memanggil anak dan isteri untuk menyelamatkan diri,” katanya yang tinggal sehelai sepinggang akibat kejadian itu.

Sementara itu, Pegawai Pengurusan Operasi negeri, Penolong Penguasa Bomba Yazid Mohd Tahir berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 9.53 malam sebelum empat jentera bersama 25 anggota termasuk pegawai dikejarkan ke lokasi kejadian.

Beliau berkata, sebaik bomba tiba api sudah marak memandangkan ia adalah struktur rumah kayu.

“Kebakaran dipercayai bermula dari rumah kosong bagaimanapun punca kebakaran sedang disiasat pasukan forensik bomba,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Oktober 2019 @ 7:00 AM