ANTARA rumah di tiga kampung yang dinaiki air dalam kejadian banjir kilat.
Oleh Zuliaty Zulkiffli
am@hmetro.com.my


“Nak cuci rumah takut air masuk sekali lagi sebab sekarang hujan lebat kerap waktu petang dan malam.

“Biarlah dulu rumah kotor, saya hanya cuci sepenuhnya bila cuaca kembali seperti biasa,” kata Kalsom Othman, 50.

Tinjauan di Kampung Kandis mendapati kebanyakan penduduk menjemur tilam dan permaidani yang basah selepas rumah mereka dinaiki air dalam kejadian banjir kilat sejak malam kelmarin.

Kalsom berkata, sepanjang minggu ini, rumahnya di Kampung Kandis dua kali dimasuki air akibat hujan lebat beberapa jam.

“Rumah saya hampir dengan sungai namun banjir kilat sebelum ini menyebabkan kami sekeluarga bersiap sedia memindahkan barang ke tempat selamat.

“Bimbang juga banjir kilat di tengah malam ketika tidur. Sebab itulah saya dan anak tidur di tingkat atas ketika hujan,” katanya.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Kubang Pasu, Kapten (Pertahanan Awam) Kamalruzamal Kasa berkata, penduduk di tiga kampung di daerah ini diminta bersiap sedia menghadapi kemungkinan banjir kilat sekali lagi sekiranya hujan lebat berterusan.

Beliau berkata, antara kampung terbabit adalah Kampung Kandis, Kampung Melele dan Kampung Seberang Siputeh di Mukim Pering.

Hujan lebat berterusan sejak petang kelmarin menyebabkan berlaku limpahan air ke kawasan rumah.

“Paras air kini semakin surut namun jika hujan lebat berterusan, kemungkinan air sungai bergerak perlahan dan fenomena air pasang dijangka berlaku.

“Setakat ini hanya dua rumah dinaiki air di Mukim Pering membabitkan sembilan mangsa namun tiada pusat pemindahan banjir yang dibuka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Oktober 2019 @ 6:30 AM