CHE Wan Nurnadira dari Kampung Bukit Tunggal menyembelih ayam pada Program Pasca PT3 Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Sulaiman, semalam.
Oleh Ahmad Rabiul Zulkifli
am@hmetro.com.my


“Sebelum ini tengok ayam disembelih pun tidak pernah, jauh sekali untuk menyembelihnya sendiri,” kata Che Wan Nurnadira Che Wan Nazami, 15.

Dia adalah antara 110 pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Sulaiman (SMKSS) yang menyertai Program Pasca Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3), semalam.

Pada program terbabit, Wan Nurnadira dari Kampung Bukit Tunggal bersama empat rakannya diberi peluang menjalani amali menyembelih ayam yang diselia Guru Pendidikan Islamnya, Ustaz Mohd Zain Husin.

Beliau berkata, dia tidak pernah terfikir akan berpeluang menjalani amali penyembelihan ayam.

“Saya ingatkan perempuan dilarang menyembelih ternakan sebaliknya tidak. Saya berasa teruja menyembelih haiwan ternakan berkenaan.

“Tidak terlalu sukar sekiranya ia dijalankan dengan teknik yang betul cuma memerlukan keberanian saja.

“Saya menyahut cabaran untuk menyembelih ayam kerana ia peluang sekali seumur hidup yang memberi ilmu dan pengalaman,” katanya.

Manakala, seorang lagi pelajar, Muhammad Azeem Mohd Nazmi, 15, dari Kampung Pengadang Baru berkata, pengalaman pertama kali menyembelih ayam adalah sesuatu yang paling menyeronokkan baginya.

“Sebelum ini, saya biasa tengok ayam disembelih di pasar dan berasa pekerjaan itu sangat mencabar.

“Tetapi apabila mencubanya, teknik menyembelih itu tidak terlalu sukar dan boleh dijalankan sendiri di rumah.

“Lepas ini, saya mahu praktikkan kemahiran ini di rumah sekiranya diperlukan,” katanya.

Sementara itu, Mohd Zain berkata program yang dijalankan itu sebagai amali dan pendedahan kepada semua pelajar.

“Kami dapati tidak semua pelajar mempunyai pengalaman melihat ayam disembelih sepanjang hidup mereka.

“Melalui program itu pelajar bukan sahaja diberi peluang menyembelih tetapi turut didedahkan dengan kaedah membuang bulu ayam menggunakan teknik tradisional, memotong ayam dan mencucinya.

“Pihak sekolah berharap program dijalankan itu memberi keyakinan kepada semua pelajar untuk mempraktikkan kemahiran itu apabila diperlukan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Oktober 2019 @ 6:00 AM