Seramai 9,826 calon mendaftar untuk menduduki STAM 2019 dari 21 hingga 31 Oktober ini. FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

PEPERIKSAAN bertulis Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2019 akan dijalankan pada 21, 22, 23, 30 dan 31 Oktober ini.

Menurut kenyataan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), seramai 9,826 calon mendaftar untuk menduduki peperiksaan itu yang akan diadakan di 234 pusat peperiksaan di Malaysia dan Kemboja.

Peperiksaan itu akan dikendalikan 1,023 petugas yang dilantik.

Calon peperiksaan merangkumi pelajar sekolah kerajaan, bantuan kerajaan dan sekolah agama bantuan kerajaan seramai 2,854 atau 29.1 peratus; sekolah menengah agama negeri (4,540 atau 46.2 peratus); sekolah menengah agama rakyat (709 atau 7.2 peratus); sekolah swasta yang berdaftar dengan KPM (87 atau 0.9 peratus); calon persendirian (1,497 atau 15.2 peratus) dan calon luar negara (Kemboja) seramai 139 orang atau 1.4 peratus.

Calon diingatkan merujuk jadual waktu peperiksaan STAM 2019 untuk maklumat mengenai masa peperiksaan serta arahan yang perlu dipatuhi.

“Jadual waktu peperiksaan boleh dimuat turun daripada laman web Lembaga Peperiksaan di alamat lp.moe.gov.my.

“Calon diingatkan membawa kad pengenalan masing-masing ke pusat peperiksaan bagi memastikan pengurusan dan pengendalian peperiksaan berjalan lancar,” menurut kenyataan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Oktober 2019 @ 6:03 PM