PEGAWAI KPDNHEP merampas pakaian tiruan jenama. FOTO ihsan KPDNHEP Putrajaya
Mohd Jamilul Anbia Md Denin
anbia@hmetro.com.my


MULANYA hanya berhijrah dan bekerja sebagai buruh kasar dengan pendapatan kurang RM1,000 sebulan.

Namun ada antara `Mat Bangla’ kini mampu memiliki premis perniagaan, membeli kereta mewah selain memperolehi pendapatan bersih hampir RM100,000 sebulan.

Kebanyakan mereka menukar profesion sebagai `tauke’ atau pemborong baju dan seluar jenama terkemuka cetak rompak di ibu kota.

Lebih mengejutkan apabila kualiti barangan cetak rompak dijual hampir 90 peratus menyamai produk tulen hingga menyukarkan pihak berkuasa membezakannya.

Terbaru sepasukan pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Putrajaya dan Selangor menyerbu empat premis perniagaan di Kenanga Wholesale City di Kuala Lumpur, semalam.

Timbalan Pengarah Penguat Kuasa Cawangan Operasi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Rosli Ahmad berkata, operasi membabitkan 28 pegawai KPDNHEP yang bertindak melakukan penyamaran sebelum serbuan dilakukan.

Menurutnya, hasil pemeriksaan pihaknya mendapati beberapa premis perniagaan di kawasan itu dimiliki warga Bangladesh.

“Mereka dikesan berniaga pakaian jenama terkemuka tiruan yang dipercayai diseludup dari luar negara dalam kuantiti besar.

“Kami berjaya merampas pakaian jenama Levi's membabitkan pelbagai saiz, bentuk dan warna. Kebanyakannya meniru rekaan dan potongan produk tulen menggunakan fabrik berkualiti,” katanya.

Menurutnya, semua 2,980 pakaian dirampas dan disita itu dianggarkan bernilai lebih RM104,000.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 8, Akta Perihal Dagangan 2011 kerana disyaki mendedah, membekal dan menyimpan barangan yang menggunakan cap dagang palsu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Oktober 2019 @ 3:51 PM