TERTUDUH dibawa polis selepas Mahkamah Majistret mengarahkannya jalani pemeriksaan psikiatri. FOTO Nurul Fhatihah Zakinan.
Nurul Fhatihah Zakinan
fhatihah@bh.com.my


MAHKAMAH Majistret Ayer Keroh, hari ini mengarahkan pemuda yang didakwa mencederakan wanita dengan ekzos kereta supaya menjalani rawatan psikiatri di Hospital Permai, Tampoi, Johor Bahru.

Majistret Muhammad Nazrin Ali Rahim mengarahkan demikian selepas tertuduh Rosmaizi Yaakop@Yakob, 36, berasal dari Sungai Udang, Melaka mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas Zakiah Abu Bakar menggunakan sebatang ekzos hingga mangsa cedera di tangan kanan, kepala dan belakang badan.

Perbuatan dilakukan di kaki lima Jalan Melaka Raya 25, Pulau Melaka, pada 3 pagi, 2 Oktober lalu dan tertuduh didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Anis Najwa Nazari, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Anis Najwa menawarkan jaminan RM6,000 kepada tertuduh dengan seorang penjamin namun, tertuduh memohon jaminan dikurangkan.

Mahkamah kemudian tidak membenarkan sebarang jaminan, sebaliknya tertuduh diarah menjalani pemeriksaan dengan pakar psikiatri. Tarikh sebutan semula kes ditetapkan 14 November depan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Oktober 2019 @ 3:03 PM