GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Idris Musa
idris@hmetro.com.my

MAKANAN disajikan tidak berkualiti, makanan tidak mencukupi dan lambat dihantar.

Itu antara masalah yang terus diadukan pengguna berkaitan perkhidmatan katering ataupun perkhidmatan penyediaan makanan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, 127 aduan direkodkan dari 2014 hingga kini.

Beliau berkata, serentak dengan itu Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) menjadi tumpuan pengguna, dengan 67 pemfailan tuntutan membabitkan nilai RM415,000 pada 2018 manakala 35 pemfailan dengan nilai tuntutan RM185,000 sehingga September tahun ini.

“Jumlah keseluruhan nilai tuntutan adalah sebesar RM833,000 membabitkan pampasan yang tidak dibayar oleh katerer (penyedia makanan), perkhidmatan yang diberikan tidak seperti dijanjikan dan makanan ditempah, kenduri siap, pengantin sampai, makanan tak sampai. Itu antara tuntutan pengguna.

“Pada masa yang sama, kementerian ini juga terus menerima aduan daripada pengguna dari hal perkhidmatan katering bermasalah, sama ada makanan yang disajikan tidak berkualiti atau makanan tidak mencukupi atau lambat menghantar makanan seperti mana dijanjikan dan seumpamanya,” katanya.


SAIFUDDIN Nasution Ismail hadir pada Sidang Dewan Rakyat. FOTO Syarafiq Abd Samad

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Nor Azrina Surip (PH-Merbok) yang ingin tahu signifikan Pelan Tindakan Industri Katering 2020 baru-baru ini, sumbangan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), aduan diterima dan nilai tuntutan di Dewan Rakyat, hari ini.

Saifuddin berkata, 151,706 syarikat katering berdaftar berdasarkan semakan terkini dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), yang menyumbang kepada hampir 100,000 peluang pekerjaan.

“Zaman berubah dan gaya hidup juga berubah. Dahulu kehidupan di kampung kalau ada musim kenduri, satu kampung akan bergotong-royong, tapi sekarang industri ini menjadi pilihan.

“Di sebalik latar belakang inilah, kementerian ini berpendapat perlu ada satu pelan tindakan industri katering khusus untuk menangani isu pengguna, kena ada sedikit elemen kawal selia di pihak kerajaan,” katanya.

Beliau berkata, pelan itu bergerak melalui tiga teras, dengan teras pertama untuk membangunkan ekosistem perkhidmatan katering berasaskan kepada kepentingan pengguna.

“Kedua, kita nak gerakkan industri katering supaya lebih berdaya saing, progresif dan mampan. Ketiga, kita nak jadikan katering itu sebagai satu kerjaya pilihan yang boleh dibanggakan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Oktober 2019 @ 2:51 PM